Tidak wajar Tabung Haji diperlekeh, ibadah dipersenda

SEORANG sahabat bukan Islam bertanyakan saya sama ada sudah mengeluarkan wang di dalam Lembaga Tabung Haji (TH). Katanya ramai yang berbuat demikian kerana bimbangkan pelaburan mereka di institusi itu. Saya menjawabnya dengan menyatakan terima kasih kerana prihatin terhadap pendeposit seperti saya. Walaupun bukan Islam, nampaknya ia ‘mengambil berat’ terhadap masalah rakannya sebagai orang Islam. Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga bersuara mengenai TH ini seolah- olah satu penyelewengan besar sedang berlaku di TH. Mungkin disebabkan ia melibatkan orang ramai bukan hanya melibatkan anggota parti politik satu-satu parti. Jika sekadar penyelewengan duit tabung parti politik, mungkin riuhnya tidak sehebat ini. Punca kemarahan hanyalah kerana TH melaburkan wang pendeposit di 1MDB. Sebelum ini pun banyak pelaburan yang dibuat oleh TH tanpa kita ketahui potensi untung rugi pelaburan itu.

Kembali kepada soalan rakan tadi. Saya memberitahunya, tidak akan mengeluarkan wang simpanan itu. Niat saya menyimpan hanyalah untuk menunaikan haji. Saya menyimpan untuk mencukupkan jumlah yang diperlukan. Walaupun menyimpan sejak remaja dan sudah mencukupi, saya tetap membiarkan wang itu kerana menunggu
giliran yang entah bila akan tiba, entah masih hidup atau sudah meninggalkan dunia ini. Simpanan itu adalah hasil titik peluh saya yang akan membantu ke Mekah dan Madinah bagi menunaikan ibadah haji, Rukun Islam yang ke lima. Bagi saya, tidak perlu mengeluarkan wang simpanan itu kerana niat asal menyimpan adalah bagi membolehkan ke Mekah. Jika ada dividen atau bonus, syukurlah. Pada masa yang sama TH diharap memberikan perkhidmatan haji yang terbaik. Jika mahu mengaut keuntungan yang lebih, eloklah melabur di tempat lain. Ada macam-macampelaburan yang diperkenalkan oleh pelbagai institusi.

Dulu waktu membuka akaun TH pada usia muda dengan azam mahu menunaikan haji, saya berpendapat mereka yang membuka akaun awal akan dapat ke Mekah lebih awal selepas jumlah wang mencukupi. Dalam erti kata lain, ikut giliran tahun bermulanya simpanan tetapi sangkaan itu meleset. Ikut pendaftaran. Siapa cepat daftar dia dapat awal. Menyesal dah tak berguna. Bersabar dan berdoalah supaya keajaiban giliran itu tiba lebih awal akhirnya. Saya juga menjelaskan kepada rakan itu bahawa konsep simpanan di TH adalah berdasarkan konsep Wadi’ah Yad Dhamanah. Ia merupakan konsep simpanan di mana pendeposit menyimpan wangnya dan TH sebagai penjaga bersetuju untuk menjaga wang tersebut. Dalam kontrak ini, pendeposit telah memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan/meminjam wang mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya.
Kesan daripada kebenaran ini, TH/ kerajaan akan menjamin wang yang diletakkan di bawah jagaannya. Dari sudut keuntungan yang diperoleh, ia adalah milik penuh TH.

Oleh itu, keuntungan yang diagihkan adalah menurut budi bicara TH termasuk juga memberi pulangan yang berlainan kepada para pendeposit. Menyelak kembali penubuhan TH ini, Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan pada tahun 1969 di bawah Akta 8/1969. Sejarah penubuhannya bermula apabila pada Disember 1959, Profesor Diraja Ungku Aziz mengemukakan kertas kerja kepada pihak kerajaan bertajuk
Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji. Beliau mengesyorkan penubuhan satu perbadanan untuk mengendalikan urusan orang beragama Islam menunaikan haji. Sehubungan itu, satu Jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji dibentuk.

Hasil perbincangan itu, “Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji” ditubuhkan di bawah Undang-undang bil 34/62 berkuatkuasa pada 1 November 1962 dan dilancarkan pada 30 September 1963. Pada tahun 1969 Perbadanan itu digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji yang beroperasi sejak tahun 1951 bagi mewujudkan LUTH. Lembaga ini diwujudkan bukan sahaja bertujuan mengatasi masalah sosio ekonomi malahan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan kaum Muslimin untuk melabur dan menyertai secara berkesan segala aktiviti ekonomi negara. Pada 1 Jun 1995 akta baru Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997. Hari ini, banyak negara Islam meminta bantuan dan kepakaran kita bagi menubuhkan institusi yang serupa di negara mereka.

Seperkara lagi, tanggungjawab setiap kakitangan termasuk pengurusan kanan yang mengendalikan TH ini adalah amat besar. Ini soal amanah. Mereka bertanggungjawab menjaga amanah itu dan tidak ‘menzalimi’ pendeposit. Ingatlah pendeposit telah mengamanahkan wang mereka untuk disimpan di TH sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia.( Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. (An-nisa’:58)

Amanah amat penting. Ia juga berkait rapat dengan ganjaran di dunia dan di akhirat. Mereka yang tidak amanah mungkin terlepas di dunia ini tetapi bagaimana di akhirat nanti? Ingatlah bukan mudah menguruskan wang umat Islam untuk tujuan yang baik itu. Sebagai orang Islam, kita harus yakin dengan mereka yang diberi amanah dan tanggungjawab ini. Tidak dinafikan di mana-mana agensi akan berlaku kepincangan tetapi sama ada ia dalam skala besar atau kecil. Apa yang berlaku baru-baru ini mendapat perhatian banyak pihak kerana kesangsian berhubung urus niaga tanah 1MDB. Akhirnya ada pihak yang mengambil kesempatan menggesa-gesa pendeposit mengeluarkan wang mereka. Tidak pasti sejauh mana reaksi orang ramai berhubung gesaan itu. Adakah wang di TH sudah merosot? Itu hak penyimpan­ untuk menentukannya tetapi berfikirlah secara rasional. Bagi yang sudah menunaikan haji mungkin boleh mengeluarkan wang mereka tetapi persoalannya ke mana mahu dilaburkan? Bagaimana pula yang belum mendapat giliran? Adakah mereka mengambil tindakan yang sama? Jangan jadi seperti marahkan nyamuk kelambu dibakar. Duit diambil tetapi habis sebelum sempat dipindahkan ke tempat lain. Bagi warga Lembah Kelang terutama di ibu negara, amat mudah untuk mengeluarkan wang di TH dan kemudian singgah di ibu pejabat Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang terletak bersebelahan.

Eloklah bagi yang merajuk de­ ngan TH ‘berhijrah’ ke PNB supaya pegangan ekuiti orang Melayu tidak terancam akibat isu ini. Kita bimbang ada pihak tertentu yang merancang­ untuk meruntuhkan pegangan ekonomi orang Melayu dalam institusi seperti TH ini. Sebelum ini PNB juga ‘diserang’ dengan pelbagai kenyataan yang mempertikaikan pelaburan oleh agensi itu. Isu berkaitan berjaya diselesaikan dengan baik dan kembali meyakinkan pelabur. Bagi mereka yang tidak yakin dengan TH tidak perlulah mengajak orang lain ‘menyerbu’ TH. Amat malang apabila terdapat desakan dalam media sosial supaya pendeposit mengeluarkan simpanan mereka. Kenapa perlu dikeluarkan? Bagi pendeposit yang menyimpan jutaan ringgit mungkin ada kebimbangan tetapi bagi pendeposit yang hanya ada simpanan sekadar mampu menunaikan haji, eloklah berfikir dua kali. Rasanya pendeposit kecil ini tidak akan hilang simpanan mereka berdasarkan nilai pelaburan yang dimiliki oleh TH ketika ini.

Bagi TH pula, mereka perlu mengambil langkah proaktif membetulkan sebarang kepincangan di dalam pentadbiran dan penguru­sannya. TH perlu melakukan se­suatu bagi memulihkan keyakinan pendeposit dan ‘mematikan’ ke­resahan mereka. Jangan biarkan mereka ‘memberontak’ sehingga menimbulkan masalah lain termasuk mengambil tindakan drastik secara kolektif terhadap institusi kewangan Islam itu. Amat malang ada yang marah sehingga sanggup memperkecil atau memperlekehkan ibadah haji. Kawal sikit kemarahan itu. Salah satu post yang disebarkan ialah mengajak mereka yang tidak dapat menunaikan ibadah haji de­ngan ‘melontar batu’ di bangunan TH bagi menghalau setan di sana.

Bukankah giliran menunaikan haji mengikut kuota yang diluluskan? Satu lagi post ialah memendekkan kerja haji tanpa kerja melontar batu. Lontar batu boleh dibuat sekembalinya ke tanah air dengan bertempat di bangunan TH. Tapi ingatannya jangan baling lebih-lebih sebab ada juga yang baik-baik di situ. Persoalannya adakah merosakkan bangunan TH sesuatu tindakan yang diharuskan? Sebagai orang Islam, adakah gurauan dalam kemarahan berkaitan ibadat ini wajar?

UMA180515012C#

Related posts

Leave a Comment