MALANG tidak berbau membawa maksud kecelakaan yang tidak boleh diketahui lebih awal. Sama juga nasib buruk tidak dapat dielakkan. Begitulah yang berlaku dalam beberapa nahas kebelakangan ini. Terkini termasuklah yang melibatkan pemimpin DAP, Karpal Singh dekat Gua Tempurung, Ipoh, Perak. Karpal meninggal dunia di tempat kejadian. Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu meletak jawatan sebagai Pengerusi DAP pada 29 Mac lalu ekoran dijatuhi hukuman denda RM4,000 selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Pada 11 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Paduka Azman Abdullah menjatuhkan hukuman denda terhadap Karpal atas kesalahan mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar lima tahun lalu. Takziah kepada keluarga Karpal dan DAP.
Itu nahas melibatkan kenderaan biasa. Tidak ketinggalan beberapa nahas yang melibatkan pengangkutan awam iaitu bas. Semakin kerap nahas bas berlaku. Pada 12 April lalu, tiga penumpang termasuk sepasang suami isteri maut apabila bas dua tingkat yang dinaiki terbabas sebelum mer-empuh tiang elektrik dan terbalik di KM11, Jalan Bentong-Raub berdekatan kawasan Bilut. Dalam kejadian pukul 12.30 pagi, bas milik Transnasional yang dinaiki 68 penumpang itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Pemandu bas kemudiannya didapati positif dadah. Kelmarin, bas Ekspres Etika, terlibat dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur menyebabkan tiga parah. Semalam, satu lagi nahas melibatkan bas persiaran dua tingkat di KM 70 Jalan Kuantan-Segamat menyebabkan seorang terbunuh dan 38 cedera. Begitulah siri nahas bas dalam tempoh terdekat ini. Bas ekspres terus menjadi pilihan ramai kerana itu satu-satunya pengangkutan darat yang ada.
Mungkin apabila kereta api laju (ETS) beroperasi sepenuhnya, orang ramai akan beralih kepada kereta api. Nahas yang melibatkan bas termasuk bas dua tingkat bukanlah satu perkara baru. Pelbagai cadangan dan rumusan dibuat tetapi nahas tidak dapat dielakkan. Elok kita selak kembali beberapa nahas yang melibatkan bas. Akhir tahun 2009, bas dua tingkat Sani Express terlibat dalam nahas di Kilometer (KM) 272.8 Lebuh Raya Utara Selatan yang mengorbankan 10 nyawa. Pada 21 Disember 2010, bas persiaran dua tingkat terbabas ketika menuruni bukit di KM 15 Jalan Cameron Highlands – Simpang Pulai menyebabkan 27 orang maut. Pada awal pagi 13 April 2009 pula, nahas bas dua tingkat AB Express menyebabkan enam terkorban di KM443, Lebuh Raya Utara – Selatan berdekatan Rawang. Pada 7 Disember 2008, nahas bas ekspres Su-per Nice Grassland meragut 10 nyawa di KM146.5 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pagoh, Johor. Pada 13 Ogos 2007 pula, 20 orang maut dan lapan parah apabila bas ekspres terhumban ke parit sedalam lima meter di KM 229, Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Gantang. Nahas terburuk berlaku pada 21 Ogos 2013 di KM 3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur apabila sebuah bas terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung dan meragut 37 nyawa.
Sebelum ini Selak pernah membangkitkan isu nahas bas ini kerana telah banyak peraturan dan ketetapan dibuat oleh pelbagai agensi berkaitan. Apakah punca nahas? Adakah kerana bas termasuk bas dua tingkat, jalan raya/lebuh raya atau sikap pemandu? Ada cadangan sebelum ini yang melarang perjalanan bas selepas 12 tengah malam. Ada juga yang meminta dikaji kesesuaian bas dua tingkat bergerak di lebuh raya. Pada satu ketika dicadangkan pemasangan kotak hitam. Bagi sesetengah perjalanan pula wajib mempunyai dua pemandu. Entah apa pula yang akan dicadangkan selepas `musim nahas bas’ ini. Tetapi apakah kesudahannya? Adakah apa yang sudah diputuskan dikuatkuasakan? Atau sekadar ketetapan, peraturan dan undang-undang di atas kertas? Memang ajal maut bukan kita yang menentukannya tetapi manusia disuruh berusaha dan berikhtiar.
Di lebuh raya, sudah lumrah bas ekspres dipandu laju, seolah-olah sedang berlumba. Maka, pemantauan perlu dilakukan sepanjang masa, bukan mengikut musim nahas atau musim perayaan. Saban malam ketika pulang awal pagi, saya sering terserempak dengan bas ekspres yang dipandu laju sama ada yang menghala ke selatan – mungkin Johor Bahru atau Singapura atau ke Kuala Lumpur, Ipoh atau Pulau Pinang. Apakah mungkin bas berkenaan dipandu sekadar 90 km. sejam jika kenderaan kita yang sedang memecut 100 km. sejam dipotong begitu mudah? Kadang-kadang terasa kenderaan kita bergoyang apabila dipintas oleh bas.
Kelajuannya mungkin mencecah lebih 110 km. sejam. Lebih menakutkan aksinya yang ke tepi ke tengah untuk memotong kenderaan. Kenapa pemandu berani memecut? Adakah kerana laluan yang lurus dan lebuh raya yang kosong selepas tengah malam? Mungkin itu salah satu faktornya. Tidak ada sesiapa peduli tentang had kelajuan pada waktu begitu. Jika ada perangkap laju pun, pemandu sudah arif. Sama seperti pemandu kenderaan lain, mereka akan memecut apabila berpeluang dan bersopan mengikut had kelajuan apabila melintasi kawasan yang mempunyai kamera had laju.
Memang sukar untuk membentuk sikap pemanduan berhemah termasuk yang melibatkan bas ekspres. Pemandu sedar mereka membawa banyak jiwa bersama, bukan seperti kenderaan biasa, empat atau lima orang sahaja. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu melakukan sesuatu. Fikirkan kaedah yang boleh mengawal sikap pemanduan yang tidak berhemah ini. Menyamar sebagai penumpang. Buatlah operasi lebih kerap. Kenali sikap sebenar pemandu lebih-lebih lagi pada waktu malam atau awal pagi. Buatlah penilaian sama ada pemandu ketika itu dalam keletihan, mengantuk, tidak berhemah semasa memandu (memandu secara berbahaya) atau tidak fokus kepada pemanduan. Profesionalisme pemandu perlu diberi perhatian supaya kaedah pengendalian dan pemanduan bas lebih selamat.
Bagi bas dua tingkat pula, satu mekanisme khusus perlu disediakan. Adakah pemandu kita belum terlatih untuk mengendalikan bas dua tingkat? Mungkin juga laluan khusus sahaja dibenarkan untuk perkhidmatan bas ekspres dua tingkat ini. SPAD perlu melakukan sesuatu sebelum lebih banyak jiwa menjadi korban nahas bas ekspres. Bertindaklah segera!
UMA210414011C_2#