Jaga perasaan majoriti ketika minoriti bebas kekalkan identiti, agama, budaya

MINGGU kedua tahun baharu 2014, saya berkesempatan ke Ho Chi Minh, yang dulunya dikenali sebagai Saigon. Pusat bandar di Vietnam ini terletak di tebing Sungai Saigon dan berdekatan dengan delta Sungai Mekong. Seperti bandar raya lain, Ho Chi Minh juga mempunyai sejarah tersendiri. Bagi yang pernah sampai ke sana, sudah tentu dapat membayangkan serba sedikit mengenai bandar raya ini. Kesesakan kenderaan memang ada tetapi yang agak istimewa ialah melihat motosikal yang menguasai jalan raya. Maksudnya bukan seperti mat rempit di Malaysia yang ‘menguasai’ jalan raya tetapi jumlah kenderaan itu termasuk vespa yang mengatasi kenderaan lain. Mereka juga tidak `merempit’ kerana khabarnya pihak berkuasa amat tegas mengenai had laju yang ditetapkan.

Itulah serba sedikit mengenai Ho Chi Minh, sebuah lagi bandar selain Bandung di Indonesia yang turut menjadi lokasi rakyat Malaysia membeli-belah. Buktinya, di sana saya dapat menemui ramai rakyat Malaysia ketika berkunjung ke Ben Thanh Market, sebuah pasar yang menjual pelbagai jenis kain, pakaian, makanan dan cenderamata. Ringgit Malaysia (RM) pula diterima secara meluas. Ramai juga peniaga yang boleh bertutur bahasa Melayu ketika tawar menawar dan tidak kurang juga yang membuka restoran makanan halal dan kedai pakaian.

Saya tidak bermaksud untuk mengajak pembaca ke sana tetapi sekadar mengimbau sedikit pengalaman di bandar raya ini. Paling menarik ketika menunaikan solat Jumaat pada 10 Januari lalu (Jumaat kedua 2014). Saya dan beberapa rakan lain berkunjung ke Masjid Indian Jamia Muslim di No. 66 Jalan Dong Du. Mengikut buku panduan yang terdapat di hotel penginapan, masjid ini (Jamia Al Muslimin Mosque) adalah salah satu daripada 12 buah masjid yang terdapat di Ho Chi Minh. Ia menjadi tumpuan masyarakat Islam yang mengunjungi bandar raya itu. Sementara menunggu masuknya waktu solat Jumaat, tazkirah diadakan seperti yang dilakukan masjid di negara ini. Walaupun tidak faham dengan bahasa yang dituturkan, tetapi perhatian tetap diberi kepada anak muda yang menyampaikan tazkirah itu. Tidak pasti apakah mesej yang disampaikan tetapi apabila beliau berkata-kata sambil tangannya menunjukkan supaya jemaah memenuhi saf hadapan, saya tergerak untuk ke hadapan.

Maka bergeraklah para jemaah yang kelihatan ada dari Malaysia, Indonesia dan warga Arab memenuhi saf hadapan. Sebaik azan kedua selesai, khatib berdiri untuk menyampai khutbah. Ketika itu terasa akan melayanglah fikiran entah ke mana-mana – mungkin ke pasar Ben Thanh. Maklumlah, khatib tentu akan menggunakan bahasa Vietnam ketika menyampaikan khutbah. Ternyata andaian itu meleset. Akhirnya fokus diberi kepada mimbar masjid itu.

Selepas menyampaikan mukadimah khutbah dalam bahasa Arab, saya dan mungkin rakan-rakan jemaah lain terasa lega apabila khatib bertutur dalam bahasa Melayu. Khutbahnya berkait soal mensyukuri nikmat Islam. Beliau menyampaikan khutbahnya dengan lancar berpandukan teks. Pastinya sebelum ini, mereka yang pernah solat di situ sudah biasa mendengar khatib menyampaikan khutbah dalam bahasa Melayu walaupun tidak setiap minggu. Khutbah kedua pula dibaca dalam bahasa Vietnam dan rasanya seperti terjemahan khutbah pertama.

Memang terasa lega kerana dapat menunaikan solat Jumaat di sebuah negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam. Kebebasan beragama merupakan amalan yang sihat. Di tengah-tengah bandar raya itu, walaupun masjid berkenaan terletak di celah-celah bangunan, tetapi segelintir masyarakat Islam sama ada yang menjadi penduduk tetap di kawasan itu atau pendatang yang bekerja serta para pelancong dapat menunaikan ibadah tanpa sebarang gangguan. Di situ juga ada kelas al-Quran untuk kanak-kanak.

Mungkin masyarakat Islam itu tahu menjaga batas yang ada sebagai minoriti. Bagi mereka apa yang penting, minoriti masih dapat mengekalkan identiti dan mengamalkan agama mereka. Ada minoriti yang lebih malang, tidak dipedulikan majoriti. Tidak ada gunanya mana-mana pihak menggunakan keangkuhan untuk menunjukkan ‘keras kepala’.

Dalam konteks Malaysia, Islam sebagai agama Persekutuan haruslah dipertahankan dan dihormati sama ada oleh orang Islam atau bukan Islam. Jangan disebabkan politik, ada yang sengaja mahu ‘menegakkan benang yang basah’. Contohnya isu kalimah Allah. Apa yang berlaku di Pulau Pinang semalam diharap dapat mengejutkan mereka yang ‘tidur lena’ atau sengaja buat tidak faham kenapa isu kalimah ini menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam. Kebebasan beragama tidak semestinya, kita bebas melakukan sesuatu sehingga mengguris perasaan orang lain.

Janganlah ada mana-mana pihak cuba melakukan provokasi berkaitan agama sehingga mewujudkan keresahan dan ketegangan. Provokatif yang biadab bakal mencetuskan kemarahan masyarakat. Dalam suasana politik hari ini, ada sesetengah pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’. Mereka sengaja menguji sejauh mana tahap kesabaran umat Islam. Atas nama kebebasan bersuara di sebuah negara demokrasi, serta menjunjung hak asasi manusia, mereka bercakap dan bertindak sehingga ‘mengganggu’ kehidupan orang lain.

Satu persatu isu melibatkan agama dan perkauman dicetuskan melalui pelbagai medium termasuk melalui laman sosial. Mereka yang kreatif mencipta pelbagai provokasi yang boleh mengancam suasana harmoni. Janganlah cuba menjolok sarang tebuan. Ingatlah dalam negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama, semangat toleransi amat penting dalam membina perpaduan. Kebebasan beragama perlu menjurus ke arah mewujudkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.

UMA270114010C001#

Related posts

Leave a Comment