Kalau sudah sedap dan ketagih, lupa mudarat

BARU-BARU INI, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan mengenakan larangan terhadap penjualan dan peng-gunaan rokok elektronik atau e-rokok, yang tidak mengandungi tembakau. Persatuan itu mendakwa se-makin ramai anak muda tertarik menggunakan e-rokok yang pertama kali diperkenalkan di China pada Mei 2004 yang secara langsung memberi kesan negatif alat itu sebagai kaedah menghentikan tabiat merokok.

Para saintis di University of Athens, Greece, mendapati e-rokok boleh menyebabkan kerosakan kepada paru-paru dan nikotin yang merupakan racun toksik serupa dengan racun serangga. Apabila terlalu banyak yang dihisap, ia boleh membawa kepada keracunan nikotin yang menyebabkan muntah, rasa mual dan pening.

Rokok elektronik itu merupakan alat yang menggunakan bateri untuk katrij yang berisi cecair yang mengandungi pelbagai perisa seperti pudina, vanila, ceri dan biji kopi.

Semalam, CAP muncul lagi dengan gesaannya supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan shisha sama seperti fatwa yang mengharamkan rokok.

Gesaan itu susulan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Seperti e-rokok, shisha juga mempunyai pelbagai perisa. Pada 2012, CAP telah menggesa supaya shisha diharamkan kerana penggunaannya boleh memudaratkan kesihatan. Bagaimanapun gesaan itu tidak mendapat perhatian walaupun penggunaannya semakin berleluasa di seluruh negara terutama dalam kalangan anak muda.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain. Penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter. Mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.

Perlis muncul dengan fatwanya mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha. Sebelum ini Melaka mengambil tindakan yang sama. Beberapa negeri lain dijangka mengikut jejak ini. Mungkinkah Majlis Fatwa Kebangsaan juga akan mengambil pendekatan yang sama seperti mengharamkan rokok?

Jika ini berlaku, persoalannya sejauh manakah fatwa seumpama ini mampu menyedarkan pengguna terutama dalam kalangan masyarakat Islam yang sudah ketagih? Tidak kiralah sama ada rokok, e-rokok atau shisha.

Apabila sudah sedap dan ketagih, maka soal makruh, mudarat dan haram menjadi perkara kedua. Perkara pertama, ialah mengutamakan ‘sedutan’. Biarlah apa orang kata, apa yang penting ‘nikmat’ sedutan itu. Pedulikan soal fatwa atau segala kajian mengenai kesan terhadap kesihatan, soal poket kering, asalkan dapat menikmati sedutan berkenaan. Walaupun sudah banyak yang mem-perkatakan mengenai kesan buruk sedutan rokok, e-rokok dan shisha, semuanya itu tidak berkesan. Begitu juga dengan pelbagai kempen yang dilakukan oleh kerajaan. Ruangan Selak ini juga beberapa kali memperkatakan tentang bahaya rokok ini. Pada awal ruangan ini iaitu menjelang fajar 2009, Selak sudah mengajak pembaca terutama perokok meninggalkan tabiat merokok ini melalui tulisan bertajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia’ (29 Disember 2008) diikuti Apabila
perokok ketegar, undang-undang jadi ‘hiasan’ (22 Jun 2009), Bicara harga kembar ‘si manis dan si racun’ pembawa diabetis (11 Januari 2010), Kos berubat lebih mahal daripada sekilo gula, sekotak rokok (16 Mei 2011) dan Harga gula, fatwa rokok selepas bentang Bajet 2013 (1 Oktober 2012). Hampir setiap tahun, ada sahaja peruntukan atau undang-undang berkaitan penguatkuasaan mengenai larangan merokok termasuk meluaskan kawasan larangan. Bagaimanapun semuanya itu tinggal peraturan di atas kertas.

Orang ramai masih merokok di kawasan larangan termasuk di kawasan-kawasan yang berhawa dingin sama ada di kompleks membeli-belah, pejabat, lapangan terbang, stesen kereta api, stesen bas dan sebagainya. Peraturan dan hukuman tidak mampu mendidik mereka untuk mematuhi arahan. Tidak ada penguatkuasaan.

Apalah yang ada pada undang-undang dan peraturan kerana operasi penguatkuasaan hanya dilakukan sekali-sekala. Bagi yang beragama Is-lam, jika fatwa haram boleh ditolak ke tepi, inikan pula penguatkuasaan yang boleh ‘ditebus’ dengan membayar denda RM. Wang ringgit boleh dicari untuk membeli dan membayar denda kerana kesalahan merokok di tempat awam. Bagi sesetengah orang, istilah haram itu hanyalah melibatkan beberapa perkara yang perlu dipatuhi. Dalam erti amat sukar untuk menentukan sejauh mana seseorang itu cuba mengelak daripada melakukan perkara yang diharamkan. Saban hari sama ada sedar atau tidak, ada sahaja perbuatan atau tindakan yang menjurus ke arah melanggar perkara yang diharamkan. Samalah seperti menyertai perhimpunan haram. Hakikatnya, kita mudah lupa soal haram, makruh dan mudarat kerana ‘nikmat’ yang dikecapi.

UMA010713010C001#

Related posts

Leave a Comment