107 kluster kategori pendidikan

PUTRAJAYA 26 Jan. – Sebanyak 107 kluster Covid-19 dalam kategori pendidikan direkodkan mulai 1 Januari sehingga 25 Januari lepas, melibatkan 4,633 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata peningkatan ketara itu dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada 2022 berbanding sesi persekolahan pada 2021.

Katanya, daripada 107 kluster pendidikan, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang bilangan paling tinggi iaitu 56 kluster (52.3 peratus) diikuti pendidikan lain (24.3 peratus), pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus)

Pada Minggu Epidemiologi (ME) pertama tahun 2022, hanya tiga kluster pendidikan direkodkan, namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah iaitu ME kedua apabila 15 kluster direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ketiga.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pada ME keempat, sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan dilaporkan.

Dr Noor Hisham berkata daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) telah lengkap menerima vaksin Covid-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula telah menerima dos penggalak.

Katanya majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (Kategori Satu dan Dua) iaitu 99.7 peratus (4,621 kes), manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) lagi daripada Kategori Tiga dan Empat dengan kesemua 12 kes itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan.

Berdasarkan hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan, kejadian ini berpunca daripada ketidakpatuhan SOP (prosedur operasi standard) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutama apabila berada di asrama.

Punca lain termasuk individu bergejala lewat dikesan dan masih hadir ke kelas; murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin; ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama.

Katanya, hasil satu mesyuarat khas pada 22 Januari lepas bersama pihak-pihak berkaitan, cadangan penambahbaikan dibuat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan.

Antaranya mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM.

Sekolah juga perlu melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti Covid-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat dan pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan.

Related posts

Leave a Comment