DEMAM pemilihan semakin menarik perhatian terutama yang melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu UMNO, MCA, MIC dan Gerakan. Kecuali MIC, pemilihan parti komponen lain akan berlangsung selewat-lewatnya hujung tahun ini. Terdapat juga desakan supaya MIC turut ‘menyelesaikan’ pemilihan pada tahun ini. Mungkin ini satu cadangan yang baik, kerana parti komponen memerlukan satu barisan kepemimpinan yang mantap untuk meneruskan perjuangan parti dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) berikutnya. Masa semakin singkat. Empat tahun bukanlah satu jangka masa yang panjang bagi parti-parti politik membina keyakinan baru untuk rakyat menyokong mereka pada PRU. Eloklah pada pemilihan kali ini, parti-parti komponen turut membuat penilaian dan melakukan tindakan susulan berdasarkan pencapaian parti pada PRU 5 Mei lalu. MCA hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi DUN yang ditandingi. Gerakan menang satu daripada 11 kerusi Parlimen dan tiga da-ripada 31 kerusi DUN sementara MIC menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan tujuh daripada 19 kerusi DUN.
Berdasarkan pencapaian ini, Gerakan dan MCA perlu bekerja lebih keras untuk meneruskan survival parti serta memastikan ia terus relevan. Kedua-dua parti komponen itu tidak boleh ‘cuci tangan’ dengan prestasi yang merudum. Tidak dinafikan, transformasi perlu dilakukan oleh parti-parti berkenaan tetapi perlukah diwujudkan hanya parti tunggal yang menggabungkan semua komponen BN? Gerakan sendiri sudah merupakan ‘parti pelbagai kaum’, sama seperti PKR dan DAP. MCA pula mewakili masyarakat Cina dan UMNO Melayu serta bumiputera. Di bawah lambang BN, parti komponen itu menjadi satu apabila bertanding pada PRU berbanding PKR, Pas, DAP yang menggunakan lambang parti masing-masing di kertas undi. Adakah nasib parti komponen akan berubah jika masing-masing menggunakan lambang sendiri pada PRU? Apakah tidak timbul masalah apabila semuanya menjadi satu? Mungkin MCA, Gerakan tidak terasa kehilangan parti itu tetapi apa pula nasib UMNO? Mungkinkah ini peluang `menamatkan riwayat’ UMNO?
Gerakan dan MCA perlu melihat di manakah kelemahan sendiri ketika UMNO masih diterima baik oleh pengundi-pengundi Melayu sementara MIC pula mendapatkan kembali sokongan masyarakat India berbanding PRU 2008. Maka pemilihan yang melibatkan parti komponen kali ini bukan sekadar memilih pemimpin – mengganti yang lama atau mengekalkan yang ada – sebaliknya memilih pemimpin yang dapat bersama-sama memikul tanggungjawab untuk menjadikan BN terus relevan. Bukan sekadar meriah pada hari pemilihan tetapi selepas itu, kerja dan tanggungjawab tidak sehebat yang diharapkan.
MCA dan Gerakan perlu mencari presiden baru berikutan hasrat Dr. Chua Soi Lek yang mahu berundur menjelang akhir tahun ini. Jawatan Presiden Gerakan pula kini dipangku oleh Chang Ko Youn berikutan peletakan jawatan Dr. Koh Tsu Koon pada 16 Mei lalu. Soi Lek dan Tsu Koon tidak bertanding pada PRU lalu. Pemiihan MCA akan bermula 15 Julai ini di peringkat cawangan diikuti bahagian, negeri dan berakhir dengan pemilihan di peringkat pusat pada 21 Disember.
Gerakan pula akan mengadakan pemilihan di peringkat cawangan pada bulan ini diikuti bahagian dan negeri mulai Ogos hingga September sebelum pemilihan di peringkat pusat pada bulan Oktober. Kedua-dua pemilihan parti MCA dan Gerakan ini amat penting sebagai persiapan barisan kepemimpinan baru bersama memimpin BN menghadapi PRU akan datang. Presiden baru nanti hendaklah benar-benar dapat diterima bukan sekadar oleh ahli-ahli tetapi rakan-rakan komponen BN.
Di kem MIC pula, khabarnya sudah ada suara-suara yang mahu mencabar Presiden, G. Palanivel dan Timbalannya, S.Subrama-niam. Sejauh mana kebenaran itu masih belum pasti. Bagaimanapun sudah ada penafian mengenainya. Masih terlalu awal untuk membuat andaian. Jika diselak kembali sejarah MIC, pertembungan bagi jawatan utama boleh dibilang dengan jari ketika era S.Samy Vellu sebagai Presiden. Pertandingan yang betul-betul melibatkan tokoh utama parti pula hanyalah ketika pertembungan Samy Vellu dengan timbalannya S.Subramaniam pada tahun 1989. Selepas itu, Samy Vellu mengukuhkan kedudukan. Kali terakhir perebutan jawatan No. 1 parti itu berlaku pada tahun 1993 apabila Samy Vellu dicabar oleh S.Subramaniam atau lebih dikenali sebagai ‘Jumbo Maniam’. Samy Vellu menang.
Persoalannya, perlukah MIC melakukan perubahan kepemimpinan sekarang? Palanivel menerima jawatan Presiden pada Disember 2010 selepas Samy Vellu yang menang tanpa bertanding pada 2009 meletak jawatan. Tempoh jawatan itu sepatutnya berakhir pada 2012 dan disebabkan tumpuan kepada PRU, pemilihan terpaksa ditangguh-kan. Dan inilah kali pertama Palanivel akan berhadapan dengan pemilihan parti selepas era Samy Vellu. Jika berlaku sebarang pertandingan, MIC perlu memastikan ia tidak menjejaskan perpaduan dalam usaha mengukuhkan kedudukan parti India terbesar itu. Pada masa yang sama, bersediakah MIC menerima parti-parti lain yang melibatkan masyarakat India untuk menjadi sebuah parti besar mewakili masyarakat India?
Turut menarik perhatian tentulah UMNO. Setelah lama tertangguh, pemilihan yang bakal berlangsung akhir tahun ini agak luar biasa dan merupakan satu sejarah kerana akan melibatkan 146,500 perwakilan daripada 161 bahagian. Jumlah ini meningkat berbanding 2,500 perwakilan yang menentukan pucuk pimpinan parti sebelum ini.
Pertambahan itu berikutan Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Oktober 2009 yang meluluskan pindaan perlembagaan tujuh perkara termasuk menghapuskan sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan wanita.
Ketika ini, ada pandangan supaya jawatan No. 1 dan No. 2 tidak ditandingi tetapi ada juga yang mahu jawatan itu dibuka untuk dipertandingkan. Turut menarik perhatian ialah cadangan supaya sistem kuota pencalonan diperkenalkan semula. Langkah ini bagi memastikan calon yang menawarkan diri benar-benar mempunyai kredibiliti.
Sama ada berlaku pertandingan atau tidak bagi dua jawatan utama dalam parti, semuanya terserah kepada anggota parti. Mereka lebih berhak menentukan. Apa yang penting ialah sebarang pertandingan tidak mencetuskan perpecahan dan keghairahan merebut jawatan. Biarlah pertandingan pada kali ini sama ada melibatkan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC benar-benar dapat mengukuhkan kedudukan bukannya merosakkan parti. Perbalahan akibat perebutan jawatan perlu dielakkan kerana di hadapan, masih ada cabaran yang lebih besar.
UMA100613010C001#