Inikah yang dikatakan Ketua Menteri dengan kuasa?

CORAK ‘pentadbiran’ Lim Guan Eng sama ada melibatkan kerajaan DAP Pulau Pinang atau organisasi parti itu mendapat pelbagai kritikan. Ada saja label diberikan terhadap Ketua Menteri itu yang juga Setiausaha Agung DAP. Isu panas berkaitan parti tentulah mengenai kongres yang menyaksikan kekeliruan bersejarah berhubung keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Banyak anggota parti yang mahu pemilihan diadakan semula selepas timbul keraguan mengenai keputusan berkenaan. Berikutan kecelaruan itu, ada juga pihak mendesak Guan Eng meletak jawatan.

Di luar parti pula, beliau dikritik hebat termasuk melibatkan anggota Pas, parti yang bersekutu dengan DAP berhubung kenyataannya supaya membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu. Kenyataan itu yang dibuat sempena perutusan Krismas tahun lalu berjaya mencetuskan ‘kekalutan’ dalam kalangan orang Islam. Disebabkan kenyataan itu juga, pemimpin pakatan 3P – DAP, Pas, PKR bercelaru dengan pendirian masing-masing. Pengerusi DAP, Karpal Singh; Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Pe-nasihat PKR, Anwar Ibrahim mempunyai pandangan masing-masing. Pada peringkat awal ketiga-tiganya sepakat tetapi selepas menerima kritikan hebat, Abdul Hadi membuat ‘pusingan U’ dan tinggallah DAP dan PKR mempertahankan pendirian bersama berhubung penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu.

Selama mana Abdul Hadi dan Pas mampu bertahan atau semuanya ini sekadar san-diwara politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)? Adakah Pas akhirnya akan tunduk kepada desakan Karpal Singh supaya isu itu dihentikan dan seluruh anggota Pas menghormati kesepakatan yang telah dibuat secara bersama oleh pemimpin 3P?

Apa pula pendirian Guan Eng yang men-jadi pencetus isu ini yang sebenarnya su-dah diselesaikan pada 2010?

Guan Eng seperti biasa tetap ‘membisukan diri’, bukan sekadar berkaitan isu kalimah Allah dan CEC tetapi juga beberapa isu lain seperti ke mana perginya duit ‘jualan’ beg plastik, isu rumah mampu milik dan macam-macam lagi yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk di Pulau Pinang.

Kenapa Guan Eng terus membisu? Adakah kerana beliau takut berhadapan dengan media atau sudah terperangkap dengan isu-isu berkenaan? Apakah isu-isu ini mampu menggugat kedudukannya sebagai Ketua Menteri atau Setiausaha Agung?

Setakat ini, beliau seolah-olah tidak peduli apa orang lain kata sama ada anggota parti atau di luar. Beliau mengambil pendekatan lebih baik diam daripada berka-ta-kata. Mungkinkah tindakan ini juga melambangkan ‘sikap dan wajah sebenar’ Guan Eng seperti yang didakwa oleh rakan-rakan yang pernah bersamanya?

Cuba selak kembali beberapa kenyataan berkaitan DAP dan Guan Eng yang dilontarkan oleh orang politik seperti Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. Begitu juga dengan bekas anggota Parlimen PKR termasuk Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju). Tidak kurang juga kalangan pemimpin parti di peringkat akar umbi.

Mansor sebelum ini pernah menggelar Guan Eng sebagai sombong, angkuh dan tokong. Kenyataan itu dikeluarkan Mansor pada satu Mesyuarat Strategik PKR tahun lalu yang antara lain berkisar soal pembahagian kerusi di Pulau Pinang pada PRU-13 dan peluang memenanginya.

Kenyataan Mansor itu seolah-olah disahkan oleh Tunku Abdul Aziz dalam satu kenyataannya baru-baru ini berhubung tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menurunkan kain rentang ucapan Tahun Baharu Cina Perdana Menteri, Najib Tun Razak di negeri itu.

Tunku Abdul Aziz dilaporkan berkata: ‘‘Belum pernah terjadi di negara ini, kita ada seorang Ketua Menteri yang sungguh bong-kak dan cuba membuktikan dirinya ‘tokong’ yang tidak boleh diusik langsung’’.

Dalam kalangan media pula, beberapa akhbar/media arus perdana termasuk Utusan Malaysia menghadapi ‘kesukaran’ membuat liputan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Pada satu majlis sambutan Thai Ponggal di pejabat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang pada bulan lalu, Guan Eng berkata: ‘‘Saya tidak akan bercakap di hadapan media Barisan Nasional,’’.

Dalam isu tertentu, Guan Eng hanya bersedia menjawab soalan secara bertulis. Tidak ada soal jawab seperti amalan pemimpin lain. Begitulah sikap Guan Eng terhadap media.

Apakah yang ingin ditunjukkan oleh Guan Eng? Adakah apa yang sedang berlaku sekarang menunjukkan beliau sedang menuju ke arah menjadi ‘ketua menteri yang berkuasa’ seperti slogan yang pernah menjadi kempen PRU parti itu semasa diterajui oleh bapanya, Lim Kit Siang?

Ketika itu, dalam kempen PRU pada 1995 telah muncul poster Kit Siang (sebagai Setiausaha Agung DAP) yang tertera perkataan CHIEF MINISTER WITH POWER – Ketua Menteri Dengan Kuasa). Lebih menarik lagi ialah
terdapat patung watak televisyen popular iaitu Robocop (gambar) di atas poster itu. Di dada patung itu tertulis perkataan Tanjong 3 iaitu mengambil sempena siri Tanjong dalam kempen DAP untuk menawan Pulau Pinang
yang bermula dengan Tanjong 1 (PRU 1986) dan Tanjong 2 (PRU 1990).

Bagaimanapun, ketiga-tiga siri Tanjong itu gagal sehinggalah DAP berjaya memenuhi cita-cita tersebut pada PRU 2008 dengan penampilan anak Kit Siang iaitu Guan Eng yang turut berhijrah dari Kota Melaka ke Pulau Pinang. Penghijrahan Guan Eng dari Melaka lebih berbaloi kerana terus menjadi Ketua Menteri berbanding penghijrahan Kit Siang yang sekadar memenangi kerusi Parlimen Tanjong dan DUN Kampung Kolam.

Adakah pada PRU akan datang, Guan Eng akan terus bertahan di Pulau Pinang?

UMA180213010C001-comp

Related posts

Leave a Comment