Warna-warni sempena Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang

SELAMAT Tahun Baharu Cina. Gong Xi Fa Chai kepada semua pembaca Utusan Malaysia yang menyambutnya. Suasana rumah terbuka sempena ‘hari raya’ berterusan. Semalam dan hari ini, masih banyak acara diatur untuk menyambut Tahun Ular Air ini. Hari ini, negeri yang ditadbir oleh DAP menjadi tumpuan kerana akan berlangsung sambutan Hari Terbuka Gong Xi Fa Chai 1Malaysia anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang. Perdana Menteri, Najib Tun Razak akan hadir pada majlis itu. Sejak semalam, Najib sudah bersama masyarakat Cina menyambut sambutan itu. Bermula dengan sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran MCA di padang bola sepak Flat Sri Johor, Cheras dekat ibu negara, beliau ke Pulau Pinang. Perdana Menteri minum petang bersama pemimpin masyarakat Cina di Hotel Traders dan makan malam bersama media.

Di tengah-tengah kesibukan bersama masyarakat Tionghua, beliau menghadiri sambutan Maulidur Rasul di Masjid Kapitan Keling, kemudiannya ke kedai Nasi Kandar Beratur yang terletak berdekatan masjid itu. Bertambah popularlah kedai nasi kandar itu, sama seperti Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang. Perdana Menteri memang sibuk pada perayaan TBC ini. Seperkara lagi, tentunya ramai yang sudah melihat di televisyen yang menampilkan kemesraan Perdana Menteri semasa mengucapkan Gong Xi Fa Chai. Klip video berdurasi kurang satu minit itu menunjukkan Najib membuat penampilan khas dengan memalu gendang tradisional Cina. Inilah kelainan Najib kali ini.

Pagi ini, Najib dijadual menghadiri rumah terbuka TBC anjuran Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang sebelum ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan Han Chiang untuk sambutan TBC anjuran BN. Khabarnya, sambutan anjuran BN itu menarik perhatian sehingga ada pihak yang gelabah dan mempolitikkannya. Gambar Najib mengucapkan TBC pun diturunkan. Ini bukan kali pertama perkara seumpama ini berlaku. Jika diselak kembali, pada tahun 2010, sambutan Rumah Terbuka Malaysia TBC di Kampung Baru Pandamaran, Selangor juga mengalami nasib yang sama. Kain rentang diturunkan.

Kali ini, di Pulau Pinang, perkara yang sama berlaku. Lebih teruk, ada pihak cuba mempolitikkan kehadiran penyanyi lagu Oppa Gangnam Style, Psy, untuk memeriahkan sambutan itu. Mereka yang tidak mengenali penyanyi ini pun ‘tumpang semangkuk’ mengeluarkan kenyataan pelik. Ada yang suruh penyanyi itu tutup aurat. Puak-puak yang membantah ini tidak pula kecoh apabila sam-butan anjuran PKR dengan tarian yang ‘lebih hebat’ berlangsung.

Selak kembali tarian ala K-Pop di Kepala Batas, Pulau Pinang tahun lalu. Majlis yang dinamakan Bertam Nite anjuran PKR itu turut dihadiri pemimpin Pas. Apa yang berlaku pada malam itu? Baru-baru ini, jiran Pulau Pinang pula, iaitu Kedah yang di bawah naungan Pas mempersembahkan tarian yang menampilkan pakaian seksi di Kulim, juga anjuran pemimpin PKR. Apakah sebarang penganjuran oleh puak-puak yang bersekutu dengannya tidak perlu diganggu?

Entah apa yang dirisaukan dengan kehadiran penyanyi, Park Jae-sang yang melakukan tarian sensasi sehingga mencetuskan fenomena dunia dan menarik satu bilion pengikut di YouTube dan mempunyai 4.7 juta peminat terutama dalam kalangan peminat genre K-Pop. Diharapkan persembahan hari ini berjalan lancar.

Satu lagi perkara berkaitan dengan sambutan TBC BN Pulau Pinang ini ialah ada pihak yang seolah-olah menjadi ‘perunding pakaian’ untuk menetapkan warna pakaian mereka yang mahu menghadiri majlis sambutan itu. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan menggesa penduduk negeri itu memakai baju pelbagai warna bertemakan pembangkang semasa meng-hadiri majlis sambutan itu. Warna pakaian yang disarankan ialah kuning bagi menyatakan sokongan kepada Bersih, hijau untuk alam sekitar dan merah untuk Pulau Pinang. Macam warna pasukan sukan semasa saya di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu, dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh. Ketika itu, setiap murid mempunyai pasukan masing-masing yang mewakili ‘Rumah Biru, Merah, Kuning atau Hijau’.

Seorang sahabat dari Pulau Pinang pula berkata, hijau sebenarnya untuk Pas dan merah melambangkan DAP. Apa pula warna PKR? Kalau mahu menunjukkan Pulau Pinang, kenapa merah menjadi pilihan? Cuba lihat warna pada bendera Pulau Pinang. Warna yang ada ialah kuning, biru muda, hijau, putih dan merah. Biru muda melambangkan laut di sekeliling pulau, putih (aman dan damai), kuning (kemakmuran) manakala hijau dan merah terdapat pada pokok pinang, pokok yang mencetuskan kewujudan nama Pulau Pinang, sama seperti Melaka yang diambil sempena pokok Melaka. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai warna, bacalah tulisan Dr. Jessica Ong Hai Liaw di muka sebelah yang bertajuk Feng Shui pada Tahun Baharu Cina. Bacalah apakah warna yang baik dan warna apa yang kurang memberangsangkan.

Begitulah cerita warna-warni yang mula dibangkitkan oleh Guan Eng. Akibatnya kenyataan itu disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai bodoh, tidak cerdik, baru merangkak dalam politik, kebudak-budakan dan tidak matang dalam politik. Jangan pula, Guan Eng menuding jari kepada wartawan yang membuat laporan berkaitan. Kepada penduduk Pulau Pinang pula, usahlah disempitkan dengan politik seumpama ini. Hadirkan diri anda di majlis rumah terbuka ini dengan berlapang dada sebagai seorang rakyat Malaysia yang inginkan suasana harmoni semasa menyambut perayaan.

Janganlah kerana terlalu ghairah mahu ke Putrajaya, semua perkara – agama, kematian kanak-kanak, perayaan, hiburan dan macam-macam lagi mahu dipolitikkan.

UMA110213010C001-comp

Related posts

Leave a Comment