BEGITU teruja sahabat-sahabat saya yang memandu teksi untuk menghadiri program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) semalam. Apa tidaknya kerana mereka akan mendapat ‘habuan’ satu set tayar bernilai RM520. Maka apabila ditanya sehari sebelum itu: ‘‘Pak Long dan Pak Lang turun ke Bukit Jalil ka esok? (Ahad),’’.
Jawab mereka: Ya, lepas Subuh! Awalnya. Maka semalam, Pak Long sudah ‘terpacak’ di Bukit Jalil pada pukul 6.20 pagi sementara Pak Lang pula membatalkan hasrat itu kerana kurang sihat. Khabarnya pemandu atau pemilik teksi dikehendaki hadir sekitar waktu itu. Mujurlah tidak semua teksi turun padang, jika tidak terjejas pengangkutan awam di ibu negara. Cuma yang kurang memuaskan apabila sistem pendaftaran yang dikatakan kurang lancar menyebabkan ramai yang tidak dapat mendaftar atau pulang awal untuk bertugas mencari penumpang. Apa pun, Pak Long dan Pak Lang adalah antara 67,000 pemandu/pemilik teksi/kereta sewa di seluruh negara yang mampu tersenyum lebar dengan pengumuman Perdana Menteri, Najib Tun Razak semalam. Bersyukurlah. Bak kata orang, lebih baik ada daripada tiada.
Tetapi petang semalam, apabila ditanya kepada seorang pemandu teksi lain adakah dia ke Bukit Jalil, dengan perlahan mem-beritahu: Saya tak pergi…tak dapat apa, saya hanya pemandu kedua’’.
Kenyataannya seperti orang kecewa. Tetapi penulis meyakinkannya bahawa asal tayar dapat, maka dia juga akan memandu teksi dengan tayar yang diperoleh oleh pemilik atau pemandu pertama. Semoga tidak ada pihak yang akan mengambil kesempatan setelah mendapat baucar tayar ini. Pembekal dan pemilik teksi perlu jujur menghargai pemberian kerajaan bernilai RM34.84 juta ini yang disalurkan melalui 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Menyelak kembali baucar buku misalnya, ada pihak yang cuba ‘menyeleweng’. Kita tidak mahu hari ini dapat tayar baru, esoknya bertukar tayar botak. Begitu juga jangan ada pembekal cuba menurunkan kualiti atau mutu tayar yang dibekalkan.
Penulis turut meyakinkan pemandu berkenaan bahawa, dia akan termasuk dalam kalangan lebih 100,000 pemandu teksi/kereta sewa seluruh negara yang bakal mendapat bantuan Skim Insurans Perlindungan Kemalangan Diri. Bagi tujuan ini, kerajaan memperuntukkan dana RM1juta. Manfaat yang bakal diperoleh termasuklah pampasan (kematian akibat kemalangan), RM10,000 (ketidakupayaan kekal akibat kemalangan), RM500 (kos rawatan perubatan akibat kemalangan), RM1,500 (khairat kematian akibat kemalangan) dan RM1,000 khairat kematian biasa. Maknanya, sebagai pemandu kedua, dia tidak dilupakan begitu sahaja. Lebih daripada itu, khabar gembira yang dinanti-nantikan oleh pemandu teksi terutama milik syarikat serta pemandu kedua ialah model baru pembangunan industri teksi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Sudah tentulah salah satu yang akan diberi perhatian ialah pemberian permit teksi kepada individu. Terlalu lama, individu yang mata pencariannya sebagai pemandu teksi sepenuh masa tetapi menyewa permit atau memandu teksi syarikat mengharapkan perubahan ini. Sebelum ini pun, sudah ada usaha menambah permit individu tetapi masih ramai yang bersama syarikat atau menyewa permit menunggu dengan penuh harapan.
Justeru, satu kajian perlu dilakukan supaya keutamaan diberikan kepada individu yang sudah lama memandu teksi syarikat yang terpaksa menanggung kos sewa yang tinggi setiap hari. Seperti yang pernah diselak sebelum ini, jika mereka memandu teksi syarikat, sekurang-kurangnya RM50 pertama yang diperoleh hanya ‘lepas’ untuk membayar sewa. Mereka terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan pula wang gaji dan kos gas/petrol pada hari berkenaan. Itu belum masuk makan minum dan simpanan untuk kecemasan atau kos alat ganti kenderaan. Cuti rehat atau sakit, sewa perlu dijelaskan. Begitulah beban yang terpaksa ditanggung. Maka eloklah, pemandu yang benar-benar mencari rezeki melalui teksi diberikan permit individu sekaligus menamatkan apa yang dianggap penghambaan moden. Tekanan seperti inilah yang mendorong segelintir pemandu ‘menyeleweng’ dengan menipu meter, tidak mengguna meter atau ‘potong leher’ penumpang.
Selain sukarnya mendapat permit individu, syarat yang dikenakan untuk memiliki teksi turut membebankan. Pernah seorang sahabat yang memohon permit individu terpaksa meminjam daripada keluarga untuk memasukkan ke dalam akaun bahawa beliau mempunyai RM8,000 bagi membuktikan kemampuan kewangannya. Begitulah sukarnya untuk mendapatkan teksi permit persendirian. Institusi kewangan seolah-olah tidak percaya pemandu mampu membayar pinjaman sedangkan hakikatnya, seorang pemandu mampu membayar RM1,350 sebulan kepada syarikat dengan mengambil kira kos harian yang perlu dibayar RM45 sehari.
Sebaliknya, pemilik permit persendirian yang meminjam melalui institusi kewangan, hanya mengeluarkan antara RM700 hingga RM900 sebulan (mengikut tempoh pinjaman) sebagai bayaran bulanan. Diharapkan, usaha murni kerajaan untuk membantu pemandu teksi tidak berakhir setakat itu sahaja. Masih banyak yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan perkhidmatan teksi. Beberapa peraturan atau penguatkuasaan yang tidak relevan perlu dikaji semula. Seperti diselak sebelum ini, turut perlu diberi perhatian ialah memastikan kenderaan yang dijadikan teksi benar-benar tahan lasak dan tidak membebankan selepas dua tahun di jalan raya.
Selain SPAD, persatuan yang mewakili pemandu atau syarikat perlu memainkan peranan yang lebih aktif untuk menjaga kebajikan pemandu. Kerajaan telah memulakan langkah yang baik. Jangan pula kesudahannya berakhir dengan keburukan yang menimbulkan kemarahan kumpulan sasaran disebabkan kerenah pihak yang menguruskan amanah kerajaan ini. Akhirnya nama baik kerajaan tercemar.
Pengguna juga mengharapkan pemandu teksi yang lebih berhemah sesuai dengan peranan sebagai ‘duta kecil’ negara. Ikutlah peraturan yang diwujudkan. Jangan biarkan teksi mereka kelihatan uzur atau berbau hapak. Jangan kerana sikap seorang dua pemandu, industri teksi kita terjejas.
UMA250612010C001