“Isteri-isteri saya tiada Zainab Mohd Salleh”

PUTRAJAYA 26 Ogos – Jika pada 22 Ogos lalu, Dr. Abd Latiff Ahmad menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isterinya, hari ini beliau tampil sekali lagi dengan menyatakan  tiada isteri atau isteri-isterinya yang bernama Zainab Mohd Salleh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu melalui Laman Facebooknya hari ini berkata “Isteri atau Isteri-isteri saya TIADA yang bernama Zainab binti Mohd Salleh,”.

Beliau turut menegaskan, tiada ahli keluarganya yang terlibat dalam bisnes melibatkan pembekalan atau pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd Latiff yang dinamakan sebagai bernama Zainab binti Mohd Salleh.

Menerusi hantaran sama hari ini, Ahli Parlimen Mersing itu turut meninggalkan pantun sinis terhadap pihak yang mengaitkan keluarganya di dalam projek tersebut.

“Sebagai wakil rakyat dari kawasan laut dan pulau (Mersing)…Saya suka makan ikan…tapi BUKAN ikan jerung.

“Siakap senohong gelama ikan duri,

Cakap bohong lama lama jadi pencuri,

Siakap senohong gelama ikan jerung,

Cakap pembohong tak lama mati jadi jerangkung,”.

Related posts

Leave a Comment