Jika Putrajaya milik mereka, media bebas bagaikan burung terbang?

EKORAN tulisan minggu lalu, Siapa sebenarnya kuasai media dan menyekat kebebasan bersuara, timbul pula pertanyaan adakah media sama ada cetak atau elektronik akan ‘bebas’ seperti sekarang, lebih bebas bagaikan burung terbang atau ‘jatuh ke bumi’ jika pakatan 3P – PKR, DAP, Pas berjaya menawan Putrajaya?

Satu persoalan yang sukar dijawab jika dilihat suasana hari ini terutama melibatkan ‘sekatan’ yang dibuat secara tidak langsung terhadap media terutama di Pulau Pinang. Walaupun hanya sebuah negeri dikuasai 3P atau lebih tepat DAP tetapi ia sudah cukup untuk memberi gambaran bagaimana ‘kebebasan’ yang akan dinikmati oleh media.

Pada masa yang sama timbul persoalan sejauh mana kebebasan untuk media ber-suara bagi menyatakan pendirian mengenai sesuatu isu? Adakah jika media Melayu me-nyuarakan kebimbangan mengenai nasib masa depan orang Melayu dan Islam, maka media itu akan dianggap rasis?

Adakah jika sesuatu yang dilaporkan ada kebenarannya dan terkena ‘batang hidung’ kerajaan, media akan dihukum? Ini lanjutan daripada tindakan yang dikenakan terhadap Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tun-ku Ibrahim yang ‘dihukum’ kerana pan-dangan songsang berkaitan Bersih 3.0. Wa-laupun pandangan itu berdasarkan fakta tetapi ia tidak selari dengan bos besarnya. Akibatnya, Tunku Abdul Aziz `dihukum’ dan sesuai dengan prinsipnya, beliau me-ngambil langkah meninggalkan DAP.

Mungkinkah juga selepas ini media akan menjadi seperti buletin kerajaan? Hanya mencetak kenyataan pemimpin tanpa soal balas daripada wartawan untuk mendapat-kan maklumat lanjut. Melihat apa yang berlaku di Pulau Pinang, adakah media akan bebas seperti bebasnya burung terbang?

Mungkin ya, mungkin tidak. Rasanya, lebih berat kepada tidak. Tidak perlulah berselindung. Sedikit sebanyak akan ada ‘kongkongan’ tetapi janganlah menjadikan media seperti lembu dicucuk hidung atau kuda tunggangan yang hanya akan patuh kepada ketuanya yang berkuasa. Gunalah pihak yang sudah bersedia menjadi kuda tunggangan atau lembu dicucuk hidung.

Ekoran tulisan minggu lalu juga, seorang pembaca bertanya, adakah media milik 3P tidak pernah silap membuat laporan? Beliau mengajak penulis untuk menyelak semula beberapa laporan oleh media pembangkang seperti dakwaan Anwar diracun. Apakah kesudahannya? Benarkah laporan itu?

Begitu juga laporan berkaitan Menteri Besar Perak, Dr. Zambry Kadir. Mungkin ramai yang masih ingat bagaimana media parti pembangkang mengeluarkan berita bertajuk Zambry disyaki pengganas – Gagal masuk ke Amerika Syarikat. Apakah kesudahannya mengenai laporan ini?

Satu lagi soalan yang dikemukakan ialah sejauh mana media pada era pakatan 3P nanti jika menguasai Putrajaya boleh atau bebas melaporkan berita mengenai pihak sebelah sana? Maksudnya berkaitan UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya.

Pembaca itu kemudiannya mengajak penulis untuk menyelak lidah rasmi kerajaan 3P iaitu Selangor Kini yang pernah menumpang sebagai ‘sisipan haram’ dalam Utusan Malaysia.

Katanya, tidak ada satu pun laporan mengenai kebaikan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) kecuali yang dikaitkan dengan apa yang didakwa ‘penyelewengan’ atau ‘keburukan’ yang dilakukan oleh kerajaan kini atau terdahulu. Kata orang tidak ada yang tidak baik mengenai Selangor kecuali yang baik belaka. Apakah itu gambaran sebenar Selangor pada masa kini? Seolah-olah rakyat Selangor tidak pernah merungut mengenai masalah harian mereka, contohnya sampah tidak dikutip.

Penulis pernah menatap Selangor Kini, kadang-kadang mengambilnya di masjid selepas solat Jumaat. Ada ketikanya semasa sedang berjalan-jalan di Kajang, seorang lelaki warga emas mengagihkan akhbar itu tetapi dia akan bertanya: Free, nak baca tak? Kalau kita menggelengkan kepala, dia tak akan beri. Walaupun percuma, mungkin satu pembaziran jika akhbar 16 halaman itu diberi tetapi tidak dibaca.

Baru-baru ini, selepas keluar membeli-belah di sebuah pasar raya di Selangor, di cermin depan kereta penulis diletakkan Selangor Kini (isu 11-18 Mei). Ingatkan risalah projek rumah atau produk kesihatan atau bagaimana mahu cepat kaya.

Kira okeylah akhbar itu diletak di situ. Tindakan ini lebih bermaruah daripada menumpang akhbar yang diharamkan penjualan dan pembacaan di semua premis milik kerajaan negeri.

Dengan slogan Penggerak Kemajuan Saksama, di muka depan terpampang tajuk RM100 bantuan taska pada keluarga miskin. Keterangan gambar pula tertera JANJI DITUNAI…Kerajaan Selangor melancarkan Program Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Sikembar) yang memperuntukkan RM100 bagi menghantar seorang anak ke taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Exco Selangor, Rodziah Ismail dan ADUN Taman Medan, Haniza Talha bersama para ibu dan kanak-kanak dalam pelancaran skim itu yang diadakan di Dewan Dato’ Ahmad Razali Klang.

Kandungan beritanya antara lain: SHAH ALAM – Bagi berjuta-juta ibu seperti pekerja kantin, Umi Kalsum Harun, tekanan kos hidup yang semakin meningkat menjadi kekuatiran yang terpaksa dihadapi setiap bulan dengan suami.

Akan tetapi beban mereka diringankan apabila dipilih untuk menyertai program Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Sikembar) kerajaan Selangor. Umi Kalsum, 36, adalah antara peserta pertama ke dalam program Sikembar yang memperuntukkan RM100 bagi menghantar seo-rang anak ke taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut laporan itu lagi, setiap kanak-kanak dari keluarga yang layak akan menerima RM100 setiap bulan untuk kos menghantar anak ke taska. Rodziah memberitahu, sebanyak RM3juta diperuntukkan untuk bantuan itu bagi tahun ini.

Komen Selak: Daripada ‘berjuta-juta ibu seperti Umi Kalsum’, kerajaan negeri hanya menyasarkan 2,500 anak akan mendapat manfaat itu untuk tahun pertama (2012 berbaki tujuh bulan) walaupun sebanyak 25,000 keluarga dikenal pasti menerima skim bantuan itu.

Menurut laporan itu, tiga kategori rakyat berhak menerima bantuan iaitu berpenda-patan RM1,500 ke bawah yang menanggung satu hingga tiga orang anak; RM2,500 ke bawah yang menanggung empat hingga li-ma orang anak; RM3,000 ke bawah yang menanggung anak melebihi enam orang. Setiap keluarga terhad kepada dua orang anak yang berumur bawah 4 tahun 11 bulan (Elok genapkan saja bawah 5 tahun).

Apa pun, tahniahlah kepada kerajaan 3P kerana menunaikan janji yang dibuat pada 2008. Persoalannya adakah program itu baru dilancarkan? Selak tidak pasti. Tetapi jika betul baru dilancarkan, maknanya selepas tinggal setahun lagi tempoh usia ke-rajaan negeri 3P itu, baru kini mahu dilaksanakan. Kalau dalam perlawanan bola sepak, ibarat bermain pada masa tambahan sebelum pengadil meniupkan wisel penamat. Atau ia sekadar mahu berpolitik?

Mungkin kerana faktor inilah, kerajaan 3P itu memerlukan sedikit masa untuk ‘melangsaikan hutang janji’ kepada rakyat. Justeru, kerajaan 3P tentunya tidak mahu pilihan raya umum diadakan sekarang kerana masih ada agenda yang belum selesai.

Usahlah mencari alasan dengan menyatakan rakyat tidak perlu janji imbuhan wang ringgit seumpama itu ditunaikan sebaliknya lebih menuntut sebuah kerajaan yang telus, efisien dan bertanggungjawab. Sebabnya, manusia dipegang kepada janji.

UMA210512012C001

Related posts

Leave a Comment