Kisah dari Tanjong, Alor Setar, Permatang Pauh, Kepala Batas

DISEBABKAN urusan tertentu, saya tidak sempat menyelak catatan Selak pada 28 Mei dan 4 Jun lalu. Dalam tempoh itu saya di utara. Pada Jumaat, 1 Jun, saya singgah di Georgetown menemui rakan-rakan di pejabat Utusan Melayu, Jalan Argyll. Pejabat lama yang kini diubahsuai atau lebih tepat diperelokkan. Bagaimanapun berada di dalamnya tidak banyak berubah. Di bahagian atas, masih dikekalkan lantai kayu. Khabarnya pihak berkuasa yang mahu ‘wajah’ itu kekal bagi mengekalkan bangunan ‘warisan sejarah’. Eloklah, kerana di bangunan dua tingkat itu tercatat banyak sejarah. Saya sempat bertugas di situ sejak bersama Bintang Timur dan Mingguan Timur, akhbar tabloid yang begitu hebat pengaruhnya di utara suatu masa dulu. Selepas akhbar itu ditutup, di situ menjadi tempat berkembangnya Utusan Malaysia di utara sehinggalah sekarang. Di situ, masih wujud pejabat Utusan Malaysia walaupun warga akhbar itu khususnya wartawan dilayan seperti orang asing di sebuah negeri yang pemimpinnya sering melaungkan demokrasi.

Kebebasan media kini terbatas tidak seperti era Dr. Lim Chong Eu atau Dr. Koh Tsu Koon. Sebenarnya banyak kenangan manis di situ kerana ketika itu di bahagian hadapan pejabat terletak ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang. Chong Eu dan Tsu Koon sering kelihatan di situ bagi menjalankan tugas-tugas parti. Kaki lima pejabat pula menjadi laluan vokalis utama Alleycats, iaitu David Arumugam yang rumahnya ketika itu terletak di kawasan berkenaan. Cuma kedai roti canai Rahman (arwah) sudah berpindah lokasi, tetapi di jalan yang sama kerana tapak lama sudah dibeli orang. Nasi kandar Line Clear juga kekal di satu lorong di Jalan Penang berhampiran Jalan Argyll.

Sepanjang bertugas di pejabat itu sejak 1982 – 1986 kemudiannya 1991 – 1993, makanan – roti canai dan nasi kandar – menjadi menu harian. Begitulah sepintas lalu kenangan manis ketika singgah di Jalan Argyll. Selepas berborak bersama ketua biro, saya bergegas ke Pangkalan Raja Tun Uda untuk menaiki feri. Destinasi berikutnya Alor Setar. Di pangkalan itu, suasananya juga tidak banyak berubah. Seorang penjual pisang goreng masih bertahan walaupun sudah berusia. Dia berniaga di situ sejak era Chong Eu. Cempedak goreng menjadi jualan tetapnya. Perjalanan ke Alor Setar kadang-kadang bergerak perlahan kerana pada malam itu berlangsung Himpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Darul Aman. Menghampiri tol, jalan sesak. Banyak kenderaan dari seluruh negara masuk ke pusat bandar.

Dengan kibaran bendera Pas serta poster perhimpunan, mereka nampak bersemangat untuk ‘menawan’ Putrajaya. Mereka lupakan seketika hasrat parti yang suatu masa dulu mahu melelong Putrajaya jika menang pilihan raya umum (PRU). Tidak pasti sama ada Putrajaya akan tetap dilelong atau sebaliknya. Apa yang penting sekarang ialah tawan Putrajaya. Tidak pasti juga sama ada Pas menjadi ‘kuda tunggangan’ pihak lain untuk memenangi hati pengundi mem-bantu mereka mendapatkan Putrajaya. Tetapi mengikut kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, orang Melayu Islam akan tetap menjadi Perdana Menteri (PM), menafikan hasrat Karpal Singh yang mahu memperjuangkan PM di kalangan bukan Islam. Isu siapa PM sama ada Melayu Islam, bukan Melayu Islam atau bukan Melayu terserahlah kepada rangkaian 3P – Pas, PKR, DAP. Mereka boleh pakat sesama sendiri untuk menentukan siapa PM. Himpunan di Alor Setar nampak berjaya. Sasaran penganjur untuk mengumpul 100,000 sama ada dicapai atau hampir dicapai. Saya tidak pandai matematik untuk mengira kehadiran. Apa pun suasana malam itu meriah. Ada juga percikan bunga api. Sesudah selesai majlis, anak-anak muda bermotosikal di jalan raya membawa bendera Pas. Ada juga yang keletihan (mungkin berada sejak petang) mundar mandir di pekan Alor Setar lebih awal. Hotel penuh lebih-lebih lagi milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah.

Namun, di sebalik keghairahan penyokong Pas berhimpun pada malam itu, timbul cerita lucu selepas itu. Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin tersasul semasa berucap. Nizar memang terkenal dengan kenyataan-kenyataan ‘hebat’ dan selamba. Malam itu di atas pentas, beliau berkata, Pas akan jatuh di semua peringkat pada PRU akan datang. Mungkin disebabkan suasana yang penuh bersemangat itu, orang Pas tidak tahu apa yang diucapkan Nizar. Begitu jugalah orang yang bercakap ketika itu. Dan berlatarbelakang poster di pentas, seolah-olah Nik Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan Harun Taib ‘tersenyum melihat’ tutur kata Nizar. Agaknya apa jadi kalau orang UMNO tersasul begitu rupa? Tentunya akan dikaitkan itu sebagai petanda kejatuhan atau satu hukuman Tuhan. Pagi Sabtu sebelum bertolak pulang, peserta himpunan kebanyakannya singgah di Pekan Rabu, membeli-belah kuih muih, pakaian atau minyak gamat sebagai oleh-oleh untuk keluarga. Bas sewa khas beratur di sepanjang jalan. Bertambahlah rezeki peniaga pada cuti sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertua Agong itu. Peserta himpunan masih berpakaian kemeja warna hijau yang dipakai pada sebelah malamnya. Ada yang tertulis Islam pilihan kami, Negara berkebajikan dan Pas pilihan orang muda. Sebut pasal pilihan orang muda, baru-baru ini jutaan orang muda sudah ‘menakluki’ Putrajaya di bawah kelolaan Kementerian Belia dan Sukan. Apa pun, himpunan di Alor Setar anjuran Pas itu berjaya walaupun tidak sehebat gelombang merah di Stadium Nasional Bukit Jalil anjuran UMNO. Pas bersungguh-sungguh mahu menawan Putrajaya.

Selepas makan tengah hari di Pekan Rabu, saya meninggalkan Alor Setar menuju ke Kepala Batas, Seberang Perai atas urusan kenduri kahwin keluarga terdekat. Disebabkan banyak urusan yang perlu diselesaikan di Kepala Batas, saya tidak sempat ke Taman Guar Perahu pada sebelah malam untuk mengikuti ceramah Anwar Ibrahim di sana. Saya hanya menghantar anak-anak ke Guar Perahu untuk singgah di pasar malam, antara pasar malam tertua di Bukit Mertajam. Khabarnya ramai juga yang hadir. Sepupu yang hadir memberitahu, Anwar seperti biasa ‘menabur janji’ di atas pentas dengan tayangan video pada skrin besar mengenai ‘kehebatannya’. Tak tahulah sama ada janji Anwar itu sekadar janji manis seperti lagu Janji Manismu nyanyian Aishah. Mungkin peminat-pe-minat Aishah masih ingat lagu itu. Saya cuma ingat sebaris dua setiap kali mendengar janji Anwar. Antaranya, Oh dunia ini, penuh kepalsuan, tiada keikhlasan, hati membeku mengingatkan kata janji manis mu, ku dilambung angan-angan dan oh kejamnya lidah tidak bertulang.

Hari Ahad, selepas selesai kenduri kahwin, saya mengambil keputusan bermalam di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas. Tidak disangka pada malam itu di kawasan berhampiran, berlangsung Bertam Nite 2012 anjuran PKR. Mungkin bilik hotel di Kepala Batas penuh pada malam itu kerana majlis tersebut. Apa pun, penulis tidur lena pada malam tersebut. Keesokannya, tersebarlah mengenai apa yang berlaku pada malam itu di Kepala Batas. Pelbagai label diberikan terhadap persembahan malam itu – ghairah, seksi, separuh bogel dan macam-macam lagi. Alahai…yang turut hadir pula orang Pas. Adakah ini juga petunjuk Tuhan? Ketika mereka ‘membelasah’ Kementerian Belia dan Sukan berhubung persembahan K-Pop Korea di Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya, mereka juga menganjurkan perkara lebih kurang sama. Khabarnya ada pihak sudah ‘kelentong’ rancangan PKR yang mulanya mahu tarian tradisional dipersembahkan.

Isu ini turut dikaitkan dalam khutbah Jumaat minggu lalu di sebuah masjid di Selangor. Tajuk khutbah mengenai moral dan gejala sosial memang bagus tetapi contoh yang diberi tidak seimbang. Program anjuran kerajaan dikritik tetapi anjuran PKR dan Pas dilupakan. Kata seorang pelajar tingkatan 4 selepas selesai solat Jumaat hari tu: ‘‘Yang buat persembahan di Putrajaya tu dah sah dan nyata orang Korea tapi remaja separuh bogel di Bertam malam tu siapa?,’’. Tepuk dada fikir dengan otak bukan tepuk dada ikut selera!

UMA110612010C001

Related posts

Leave a Comment