Cakap jangan sebarang cakap… buruk padahnya

SELASA lalu, UMNO Pulau Pinang mengumumkan mahu menyaman Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebanyak RM30 juta kerana didakwa menuduh UMNO mendalangi demonstrasi di Komtar dan terlibat membakar pejabat DAP di Pulau Pinang. Keesokannya, UMNO Selangor pula menyaman Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dan lima lagi bagi menuntut ganti rugi RM10 juta setiap seorang kerana didakwa memfitnah parti itu dalam artikel bertajuk Pas akan dedah bukti, UMNO main peranan operasi JAIS yang disiarkan oleh akhbar Harakah pada Ogos lalu. Jarang sekali UMNO mengambil tindakan sedemikian.

Sebelum ini setiap tuduhan dan dakwaan dijawab balik sama ada melalui pentas politik atau media. Memang benar kata Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman, kesabaran ada tahapnya. Beliau antara lain berkata: ‘‘UMNO Pulau Pinang sudah cukup bersabar dengan tingkah laku dan keceluparan Guan Eng… kini kita rasa dia telah melampaui batas”.

Dulu perkara seumpama ini juga wujud tetapi ia lebih dianggap sebagai asam garam politik. Tidak ada laporan polis atau saman. Mungkin dulu pemimpin lebih bersikap terbuka dan tidak peduli semua itu. Contohnya bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad. Penghinaan apa yang tidak diterimanya. Pelbagai gelaran buruk, fitnah dan tohmahan dilemparkan dalam bentuk karikatur, buku, penulisan, ceramah dan sebagainya. Beliau hanya membiarkan semua keceluparan dan kebiadaban itu. Ketika ini setiap hari fitnah, dakwaan, tohmahan tidak berasas berlegar melalui pelbagai sumber. Bagi orang Islam, fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh. Guan Eng pun tahu hal ini dan bercakap mengenainya ketika mempertahankan ‘saudaranya’ Mohamad Sabu @ Mat Sabu dalam isu caj rawatan perubatan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd.

Untuk mencapai matlamat politik, kebanyakan orang tidak peduli lagi sama ada ucapan atau katakata mereka itu fitnah, bohong atau dakwaan. Dunia politik kita menjadi kelam kabut dengan sikap seperti ini. Mereka tidak lagi bercakap soal pembangunan atau kepentingan rakyat tetapi lebih suka ‘menyerang’ peribadi individu, parti atau kerajaan. Semua yang dilakukan oleh pemerintah dianggap ‘tidak betul’. Perkara yang palsu diolah bagaikan benarbenar wujud bagi mempengaruhi orang ramai mempercayainya.

Melalui blog, facebook, twitter, sms dan sebagainya, pelbagai fitnah boleh disebarkan dalam masa yang singkat. Tanpa usul periksa ‘pendedahan’ itu tersebar luas. Begitu juga dengan video ucapan yang tersebar melalui YouTube.

Ada juga yang sering mengeluarkan kenyataan seolaholah ‘lupa diri’. Mereka mengutuk dan memperlekehkan individu atau organisasi tertentu melalui twitter atau facebook. Tetapi apabila sudah sedar tersilap, orang atau organisasi yang dituduh sudah terasa serta mengambil tindakan secara tidak langsung, maka ia cepatcepat memohon maaf.

Namun ada yang seperti muka papan,muka pot,muka tembok atau muka tebal. Mereka tidak tahu malu atau bersalah. Malahan ada yang masih mengharapkan sesuatu daripada individu atau organisasi yang ‘dibelasah dan diperlekehkan’. Dalam dunia media juga berlaku. Laporan yang tepat didakwa putar belit atau tersalah lapor setelah kenyataannya mendapat ‘reaksi berbisa’ daripada pihak tertentu. Tidak dinafikan ada ketikanya media tersalah lapor atau tersilap cetak dan ini memberi peluang kepada pihak berkenaan mengambil tindakan undangundang. Hari ini tiada maaf bagi mu. Setiap apa yang disiarkan di media cetak dan elektronik akan dianalisis untuk mencari silap. Media sudah tidak bebas lagi?

Menyiarkan pandangan atau kritikan pihak tertentu hari ini mempunyai risiko yang tinggi dan pengamal media terpaksa berhatihati. Suasana hari ini sebenarnya sudah berubah. Dulu kita bebas memberi pandangan, kritikan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui penulisan kreatif, rencana, analisis atau karikatur.

Tetapi hari ini, jika tersilap langkah ia akan dianggap memfitnah atau menghina. Media massa sama ada cetak dan elektronik terasa tempiasnya. Banyak sangat yang cepat terasa seperti kata orang siapa makan cili akan terasa pedasnya.

Justeru, memang benarlah ingatan dan pesanan orang lama – Cakap jangan sebarang cakap; Cakap berlapik; cakap besar; Cakap siang pandangpandang,cakap malam dengardengar. Begitu juga Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik atau Terlepas perahu boleh diundur, terlepas kata emas padahnya.

Begitulah pesan orang dulu yang disampaikan dalam bentuk kiasan. Bagi media pula jangan tersilap tulis. Hari ini, tersilap cakap atau tersilap tulis buruk padahnya. Pada era ini, segala tindakan dan percakapan kita belum tentu selamat. Dulu hanya yang hadir majlis tahu apa yang berlaku tetapi hari ini seluruh dunia boleh tahu.

Menyelak kembali kisah masa lalu, dulu ketika mengikuti ceramah Mat Sabu di kampung, yang hadir bukan setakat orang Pas tetapi juga orang UMNO. Maklumlah ketika itu masa lapang waktu malam tidak banyak aktiviti boleh dilakukan, maka pilihannya menghadiri ceramah Pas yang memang juara ceramah.

Tetapi disebabkan dilabel sebagai orang UMNO, maka mereka ini ‘mencuri’ dengar ceramah Mat Sabu dari jauh, bukannya bersama orang Pas di depan, di bawah cahaya mentol 60watt. Mat Sabu pun tahu kehadiran orang UMNO. Kalau tak silap lebih kurang begini kata Mat Sabu: ‘‘Tu di balik pokok pisang dalam gelap pun ada orang UMNO dok dengaq (dengar)”.

Dulu, selepas ceramah ada kaset ucapan dijual untuk didengar oleh mereka yang tidak hadir. Hari ini, tidak perlu bersembunyi di sebalik pokok pisang atau mencari kaset ucapan. Kalau malam ini, Mat Sabu berceramah di Tasek Gelugor, keesokan malamnya satu dunia dapat saksi dan dengar ceramah itu.

Hampir setiap rumah yang ada Internet boleh melihat dan mendengar ucapan itu walaupun tidak sepenuhnya. Begitulah kemajuan teknologi yang ada. Malahan perbualan sulit melalui telefon pun sudah tidak selamat. Jika dulu kita boleh merapu dan merepek dalam ceramah tetapi hari ini harus berhatihati. Jangan tersilap fakta.

Bukalah Internet dan di sana banyak sumber yang menceritakan pelbagai peristiwa melalui teks, gambar atau video. Di situ ada manusia yang mempersenda Negaraku dan Jalur Gemilang, menghina Perlembagaan, Raja Melayu, pemimpin, anggota pasukan keselamatan dan bermacam lagi. Dari situ juga lahirlah ribuan atau ratusan laporan polis yang mahu pihak berkuasa ber tindak. Mereka menggesa pihak berkuasa menggunakan pelbagai akta termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tetapi sejauh mana tindakan itu diambil atau semua laporan itu bagai angin lalu? Namun sekurangkurangnya dengan penghapusan ISA, ramai yang disarankan supaya dikenakan tindakan ISA kini boleh menarik nafas lega.

Pada masa yang sama diharapkan penghapusan ISA tidak membuka ruang lebih luas kepada rakyat Malaysia melakukan sesuatu dengan ‘bebas’ lebihlebih lagi melibatkan Perlembagaan Negara termasuk berkaitan hak istimewa orang Melayu, kedudukan Islam, institusi Raja Melayu, dan juga keselamatan negara. Semoga Malaysia terus aman dan makmur.

UMA190911012C001

Related posts

Leave a Comment