RUMAH TERBUKA
KITA dalam minggu terakhir rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri. Lusa hari terakhir Syawal. Bagaimanapun rumah terbuka pastinya berterusan pada hujung minggu ini dengan pelbagai nama – majlis doa selamat, makanmakan dan kenduri kahwin. Biar apa pun nama yang diberi, yang penting pertemuan pada majlis jamuan itu dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Bukannya hidangan atau makanan yang diutamakan tetapi kemesraan antara saudara mara, sahabat handai dan yang paling utama jiran tetangga. Di samping rumah terbuka individu, korporat atau jabatan, tidak ketinggalan penganjuran rumah terbuka di kalangan penduduk kawasan perumahan.
Mereka berkongsi wang ringgit dan juadah untuk mengadakan jamuan hari raya. Tidak ketinggalan di taman perumahan Bandar Seri Putra, Bangi. Jawatankuasa penduduk Princeton Residence menganjurkan Malam Mesra Aidilfitri 2011 malam kelmarin. Jika tahun lalu, Jalan Seri Putra 2/5C sebagai tuan rumah, kali ini giliran Jalan 2/5D. Pelbagai juadah disediakan termasuklah kambing dan ayam panggang. Wakil penduduk tuan rumah itu, Ahmad Roslan dalam ucapannya antara lain menyarankan supaya penduduk di situ menjadikan Princeton Residence sebagai Kampung Princeton. Maksudnya jelas iaitu walaupun tinggal di bandar, ciri-ciri baik yang masih menjadi amalan di kampung diteruskan di bandar. Semangat bekerjasama, mengambil tahu hal ehwal penduduk bukan bermaksud menjaga tepi kain orang tetapi sekurangkurangnya mengenali anakanak jiran tetangga supaya segala gerak geri mereka dapat dipantau untuk kepentingan bersama.
Begitulah hendaknya kerjasama yang harus diwujudkan. Walaupun masingmasing sibuk dengan urusan harian, tetapi melalui aktiviti yang dijalankan, semangat kejiranan terus segar. Seperti serangkap pantun dalam aturcara program itu Jual rebung mendapat untung, Buat membeli pisang sesikat, Bulat air kerana pembentung, Bulat manusia kerana muafakat. Semoga program seumpama itu berterusan.
BASI DAN LUPUT
SEPERTI disebut di atas, pada majlis rumah terbuka bukan makanan yang menjadi keutamaan. Tetapi jangan pula tetamu dihidangkan dengan makanan yang tidak boleh dimakan. Barubaru ini penulis sempat berbual dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan mengenai jamuan yang diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri dan juga Hari Kemerdekaan di Seremban. Dalam bercerita mengenai makanan, MB itu dukacita kerana pada satu majlis beliau diberitahu oleh pengunjung mengenai kualiti makanan yang tidak boleh dimakan – maksudnya basi! Katanya, sedikit sebanyak ia memberi tempias buruk kepada penganjur. Memang patut MB meluahkan kekesalan itu. Pengendali atau penyedia makanan seharusnya lebih peka dengan kualiti kerana makanan itu dibayar. Mereka sudah diberi peluang untuk membekalkan makanan tetapi peluang itu dipandang remeh.
Situasi sebegini pasti dirasai di kawasan lain, cuma tidak dilaporkan media tetapi menjadi bualan. Pernah sahabat penulis menghadiri jamuan sempena perasmian pusat membelibelah oleh VVIP. Malangnya nasi beriani yang menyelerakan itu menjadi punca ramai yang cirit-birit. Perkara sebegini juga mungkin berlaku dalam penyediaan juadah berbuka puasa.
Kepada penjual atau pembekal makanan, janganlah kerana ghairah mengejar keuntungan, aspekaspek kebersihan dan keselamatan makanan diabaikan. Tidak berkat kita menerima wang untuk keluarga hasil menjual bahan yang tidak boleh dimakan atau memudaratkan. Kecuaian ini menyebabkan nama baik mereka terjejas dan disenaraihitamkan. Begitu juga dengan hamper sempena perayaan. Disebabkan pembeli tidak melihat barang-barang yang dijadikan hamper, ada makanan yang ditin, dikotak atau dibungkus sudah menghampiri tarikh luput atau sudah luput.
Seorang sahabat memberitahu, beliau menerima hamper yang mengandungi bungkusan makanan berjenama yang luput pada Mac lalu. Dia hanya menyedarinya setelah mahu membuang kotak bungkusan makanan itu. Ada juga kuih hari raya yang berkulat. Justeru pengirim hamper perlu berhati-hati supaya tidak ditipu oleh pengedar/pembekal. Sebagai pengirim, anda akan terasa tempiasnya kerana dianggap menghantar barangan yang sudah layak dibuang ke dalam tong sampah.
KOMUTER OH KOMUTER
KHAMIS lalu adalah hari tanpa kenderaan. Ada yang secara simbolik menaiki basikal. Tetapi di Kuala Lumpur, hari itu beberapa jalan utama sesak teruk. Mungkin disebabkan rumah terbuka anjuran badan korporat serta pertubuhan lain. Bagaimana agaknya suasana di ibu negara sekiranya kita mahu meraikan hari tanpa kenderaan? Ini kerana sistem pengangkutan awam belum memuaskan. Sistem rel yang dianggap berjaya hanya LRT dan monorel sementara komuter sukar dijangka. Jumaat lalu, sekali lagi pengguna komuter menjadi mangsa sistem yang tidak cekap. Hati siapa yang tidak panas apabila diumumkan tren mengalami kelewatan, kemudiannya dibatalkan.
Akhirnya penumpang terpaksa menunggu hampir dua jam untuk menanti ketibaan komuter berikutnya. Itu pun belum tentu dapat naik. Jika ada sekali pun, penumpang setia di stesen-stesen berikutnya belum pasti berjaya memasuki perut koc itu kerana setiap kelewatan atau pembatalan tren akan menyebabkan jumlah penumpang yang menunggu terus bertambah.
Walaupun dimaklumkan bahawa tren lewat satu jam dan tiada jaminan ketepatan ketibaan, mereka tetap sabar menanti. Mereka tidak ada pilihan kerana di situ tidak ada perkhidmatan bas atau teksi. Tetapi lain pula ceritanya di KL Sentral. Seorang pemandu teksi memberitahu, pernah apabila komuter menghadapi masalah, beliau dan rakanrakannya mendapat ‘durian runtuh’ kerana ramai yang mahu ke Nilai atau Seremban terpaksa mengambil teksi.
Diharapkan dengan ketibaan koc baru, masalah pengguna komuter dapat dikurangkan. Buat sementara, penumpang perlu banyak bersabar, menahan ‘panas’ semasa menunggu dan panas di dalam tren. Cakaplah apa sahaja dan berilah sebarang cadangan namun semuanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Ramai yang tertanyatanya apakah masalah yang menjadi punca perkhidmatan komuter teruk? Ada yang bertanya kenapa perlu mengadakan khidmat yang menjangkaui laluan lebih jauh jika tidak berupaya?
Kenapa tidak ada pelan kecemasan bagi menggantikan komuter yang terkandas? KTMB tentu lebih bijak mengatasi semua masalah ini. Biarlah mereka selesaikan. Sebagai pengguna, anda semua tidak ada pilihan – suka naik, tidak suka carilah pengangkutan lain!
UMA260911010C001