MINGGU lalu Selak tidak dapat menemui pembaca kerana sasaran penulis untuk tiba di Kuala Lumpur (KL) dalam tempoh selewat-lewatnya empat jam dari Kamunting tidak kesampaian. Bertolak dari Kamunting pukul 4.30 petang melalui Lebuh Raya Utara Selatan tetapi tiba di KL sekitar 11.30 malam. Semuanya gara-gara warga kota yang beraya di kampung kembali semula ke ibu kota. Kalau dah hampir tengah malam sampai di ibu negara, dalam keadaan ‘marah dan letih’ pula, apa lagi yang mahu diselak?
Ketika itu terlintas di fikiran bahawa kolum tetap pada setiap Isnin itu pasti ada sekiranya penulis menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Ipoh ke KL.
Akhirnya Rabu lalu, penulis yang menyambung semula cuti untuk bersama keluarga di Pulau Pinang mencuba ETS ke Ipoh. Rancangan awal mahu menyambung perjalanan ke Pulau Pinang menggunakan bas ekspres. Seawal pukul 8 pagi di KL Sentral, dengan membayar tambang sehala RM30, penulis menaiki ETS yang bertolak tepat pukul 8.30 pagi. Memang selesa berada di dalam koc ETS itu, jauh bezanya dengan koc komuter yang selalunya sesak dengan manusia bagaikan dalam tin sardin. Jauh bezanya ketepatan waktu ETS berbanding komuter. Kata orang bagaikan langit dengan bumi. Melalui ETS itu, jarak KL Ipoh lebih dekat. Pemandangan juga menarik cuma ada di beberapa kawasan tertentu kelihatan sampah sarap yang tidak terurus, mencacatkan sedikit pemandangan pada pagi yang indah itu.
ETS bergerak pantas dengan singgah di beberapa stesen terpilih untuk menurun dan mengambil penumpang. Akhirnya ETS tiba di Ipoh Sentral kira-kira pukul 10.50 pagi. Tersasar sedikit.
Disebabkan ketika itu hujan, hasrat untuk meneruskan perjalanan dengan bas ekspres terpaksa dilupakan. Kebetulan pula ada perkhidmatan kereta api antara bandar kira-kira pukul 11 pagi yang terlewat tiba di Ipoh. Mungkin disebabkan ‘diganggu’ ETS dan banyak stesen persinggahannya, jadual ketibaan tren antara bandar itu tersasar. Padahal, tren antara bandar ke utara itu bertolak pukul 8 pagi dari KL Sentral. Dengan membayar RM20, penulis menyambung perjalanan ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Mungkin disebabkan baru keluar daripada keselesaan ETS, maka sebaik saja memasuki koc antara bandar, terasa bosannya.
Pertama, tempat duduk yang tertera dalam tiket sudah diduduki orang lain, mungkin dari Kuala Lumpur. Maka tercari-carilah tempat duduk lain. Nasib baik banyak yang kosong. Kedua, kocnya nampak ‘lusuh’ – sekali lagi mungkin terasa keselesaan di dalam ETS. Pintu antara koc yang kerap terbuka dan asap rokok masuk ke dalam koc menyebabkan rasa tidak selesa. Di kantin pula, tidak ada meja untuk bersantai sambil minum kopi. Cuma meja di bangku… itu pun rosak. Kereta api bergerak perlahan, tidak sepantas ETS. Bosannya. Pada masa sama, Ilyas, anak bongsu penulis asyik SMS bertanyakan dah sampai ke belum. Jawapan yang diberi hanyalah ‘dah dekat’ nak sampai.
Jika diikutkan jadual, sekiranya penulis menggunakan khidmat bas ekspres dari KL seawal 8.30 pagi, pukul 1 petang dah boleh sampai di Bukit Mertajam. Malangnya di permulaan perjalanan KL – Ipoh dengan menggunakan ETS cukup menarik tetapi ‘sambungan’ perjalanan terganggu. Akhirnya setelah hampir tiga jam, barulah tiba di pekan Bukit Mertajam. Maka kesudahannya, tambang lebih mahal dan banyak masa terbuang.
Alangkah baiknya jika ETS boleh sampai hingga ke Alor Setar. Perjalanan tentulah lebih menarik. Impian ini mungkin mengambil masa dalam tempoh setahun atau setahun setengah lagi. Namun melalui perjalanan kereta api antara bandar yang menghubungkan Ipoh Bukit Mertajam, boleh dilihat kemajuan pembinaan landasan elektrik berkembar. Boleh dilihat dengan jelas, pembinaan yang melibatkan pembinaan landasan, stesen termasuk terowong landasan kereta api.
Apabila siap kelak, kita boleh berbangga dengan perkhidmatan yang lebih selesa ini sama seperti negara-negara lain walaupun tidak mungkin setanding dengan Jepun. Pada masa depan juga, isu pengangkutan awam untuk balik kampung juga dapat diatasi. Keluar wang lebih sedikit tidak apa asalkan selesa dan selamat untuk pulang berhari raya di kampung halaman.
Diharapkan ETS lebih canggih pada masa depan. Malaysia masih belum terlewat untuk membina infrastruktur seperti ini. Kenderaan di lebuh raya akan bertambah dan khidmat kereta api laju adalah alternatif ke arah mengurangkan kesesakan di lebuh raya kita.
APA PUN, sama ada sesak atau tidak lebuh raya kita, warga kota pasti pulang ke kampung. Dan hari ini semuanya sudah kembali bertugas seperti biasa. Anak-anak di sesetengah sekolah pula yang pada hari Jumaat lalu ponteng kerana menyambung cuti, juga kembali semula ke sekolah hari ini. Esok juga bermulanya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Maka dalam sibuk menganjurkan rumah terbuka hari raya, eloklah anak-anak yang menduduki UPSR jangan ghairah mengumpul duit raya. Ingat sama pelajaran.
Mengenai rumah terbuka, pelbagai pihak mula menganjurkannya setelah masing-masing pulang ke tempat kerja. Inilah masanya untuk jiran dalam kawasan perumahan mengeratkan silaturahim.
Jumaat lalu, sejurus tiba dari kampung, penulis diundang jiran, Zaludin Abu Bakar ke rumahnya di kawasan perumahan Princeton, Bandar Seri Putra, Bangi. Katanya majlis bermula pukul 8.30 malam. Sebagai orang baru, penulis hanya mengiyakan dan berkunjung ke rumahnya. Rupa-rupanya, majlis itu melibatkan semua pemilik rumah di Jalan Seri Putra 2/5D.
Katanya, keluarga yang ada – suami isteri dan anak-anak di situ akan berkunjung ke setiap rumah pada malam tersebut. Setiap rumah diberi peruntukan 30 minit. Majlis di setiap rumah dimulakan dengan doa yang dibacakan oleh Tohiran, salah seorang jiran di situ. Maka berkunjunglah penulis dari satu rumah ke satu rumah sehinggalah pukul 11.30 malam. Pelbagai juadah disediakan tuan rumah. Sebenarnya bukan makanan yang diidamkan tetapi matlamat utama program itu lebih mengeratkan hubungan silaturahim antara jiran.
Begitulah program di kejiranan Princeton di Jalan Seri Putra 2/5D. Terima kasih kepada Zaludin, Zulkifli, Rafizal, Jamaludin, Awang, Tohiran, Azmi, Roslan dan Sumanto. Pada Sabtu ini, mereka akan berkumpul bersama semua penduduk kediaman Princeton sempena rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.
Mungkin program seumpama ini juga ada di tempat lain. Jika yang belum berbuat demikian, boleh melakukannya untuk mengeratkan hubungan sesama jiran. Cuma jangan pula majlis rumah terbuka dicemari dengan aktiviti yang tidak sewajarnya. Jemputlah saudara mara termasuk yang bukan Islam. Tetapi jangan dicemari dengan makanan dan minuman yang tidak halal sekalipun mahu menjaga hati mereka sebagai tetamu rumah terbuka.
UMA200910008C001