Pilihan raya umum dah dekat – PM

SHAH ALAM 31 Julai – “Pilihan raya dah dekat… pilihan raya dah tak lama,”.,Itu ingatan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob semasa berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Justeru, katanya, BN perlu dalam keadaan bersedia dan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai keupayaan BN berbanding Pakatan Harapan.

Beliau mengingatkan semua ahli BN termasuk pemimpin supaya tidak menyerang satu sama lain sehingga merugikan parti.

Perdana Menteri berkata, serangan sepatutnya disasarkan kepada pembangkang yang menjadi lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

“Soal pilihan raya, kita kena pastikan imej BN dan imej pemimpin mampu bawa kecemerlangan. Baharulah apabila kita bubar Parlimen, kita mampu beri tawaran.

“Kita kalau nak menang pilihan raya, tidak mesti berdasarkan emosi. Cukuplah, jangan tembak sesama sendiri, kalau nak serang, seranglah pembangkang. PRU dah nak dekat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dunia menilai Malaysia lebih baik disebabkan negara mempunyai asas yang kuat.

Bagaimanapun katanya, ada pihak seperti menolak penilaian dunia terhadap Malaysia sehingga ada menyebabkan mereka terlalu banyak menghabiskan masa memikir dan membincangkan yang buruk dan tidak baik.

“Ini semua kerana kita terperangkap dengan persepsi yang dibawa oleh pihak pembangkang sehingga kita sendiri yang membawa cerita oleh pembangkang, sehingga kita menjadi lidah pembangkang untuk memburukkan negara.

“Jadi jika kita sentiasa burukkan kerajaan, bagaimana kita hendak menang dan menawan hati rakyat?” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan ahli BN supaya menjadi ‘lidah’ membawa berita baik oleh kerajaan seperti subsidi berjumlah RM77 bilion dan inflasi rendah sebanyak 3.4 peratus yang harus disebarkan.

“Kita harus perjelaskan kepada rakyat di akar umbi dan di media sosial dan gunakan media sosial untuk hebahkan berita baik seperti PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang mendapat sokongan daripada rakyat.

“PRU dah tak lama dan kita harus buat kerja seumpama akan ada PRU esok. Parti kita harus digambarkan sebagai parti yang kuat menerusi kesepakatan kita,” katanya.

Beliau juga meminta komponen BN menjalankan kajian sikap untuk mengetahui kekuatan musuh.

Jelasnya, BN tidak boleh kecundang lagi seperti PRU sebelum ini malah ada yang sudah membandingkannya dengan kerajaan PH dan PN yang tidak mahu lagi diberi peluang kedua.

“Saya yakin rakyat akan beri kita peluang kedua jika kita dapat meyakinkan rakyat. Jadi saya minta kajian sikap dibuat oleh (sayap) wanita menerusi semua komponen termasuk MIC dan MCA sebelum PRU.

“. Mungkin ini pertama kali buat MCA dan MIC, namun dapat buat separuh sudah memadai agar kita boleh buat penilaian,” katanya.

Related posts

Leave a Comment