KALAU ke Pulau Pinang, nasi kandar sudah menjadi satu kemestian. Dari Kuala Lumpur, ada yang sanggup mencari nasi kandar Line Clear di Jalan Penang. Tetapi sebagai buah tangan untuk dibawa pulang, jeruk buah menjadi pilihan utama.
Di Pasar Chowrasta, Jalan Penang atau sebelum melangkah masuk ke feri di Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim, pelbagai jenis jeruk dijual.
Tak kiralah siapa yang proses dan jual jeruk itu, tetapi biasanya orang akan bawa pulang sebagai oleh-oleh. Padahal, jeruk ini boleh didapati di mana-mana sahaja. Di daerah Balik Pulau, banyak buah pala ditanam dan di situ ada pengusaha jeruk.
Jeruk terutama buah pala memang popular di Pulau Pinang. Ada juga ‘asam’ lain. Di Pulau Pinang, macam-macam asam ada termasuk asam gelugur (dijadikan asam keping untuk kuah laksa dan asam pedas), asam jawa, asam ko, malahan belimbing pun disebut sebagai asam sama ada belimbing besi atau belimbing buluh.
Tetapi asam yang ingin disentuh pada minggu ini bukan asam yang dibuat jeruk atau ‘ikan di laut asam di darat, bertemu juga dalam belanga’ tetapi Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong.
Sebelum ini ‘pala’ dah jadi jeruk apabila Kampung Buah Pala, sebuah perkampungan orang India yang menternak lembu terpaksa ‘dirobohkan’ demi pembangunan.
Bagaimanapun nasib mereka agak baik. Walaupun terpaksa meninggalkan kampung halaman yang dikatakan sudah diteroka sejak 200 tahun itu tetapi pampasan yang diterima lebih melegakan. Khabarnya mereka mendapat rumah teres dua tingkat yang dianggarkan bernilai RM500,000.
Sebaliknya di Kampung Jalan Pokok Asam, yang kebanyakannya nelayan dan ‘orang lama’, pampasan yang dikatakan bakal diterima hanyalah RM75,000.
Dengan suasana selesa di sebuah perkampungan yang dinikmati selama ini, tiba-tiba kehidupan penduduk Kampung Jalan Pokok Asam yang berusia hampir 100 tahun itu akan berubah.
Belum pasti di mana mereka akan tinggal dengan pampasan RM75,000 itu. Tiada lagi suasana anak-anak bermain di kampung. Episod indah itu akan berakhir. Mungkin mereka akan menjadi penghuni di rumah pangsa kos rendah.
Terkepung! Tiada lagi kebebasan sebagai orang kampung. Apakah ia sesuai untuk penduduk di situ menjalani kehidupan baru? Sukar untuk meramalkan kehidupan mereka pada masa depan.
Pada masa yang sama apakah tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan negeri dalam menghadapi masalah ini? Kebajikan rakyat seperti ini harus dijaga. Kerajaan perlu berhemah dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah penduduk itu.
Tentunya kerajaan negeri tidak mahu dilihat sebagai ‘menekan’ orang Melayu. Sebelum ini satu persatu isu mengenai masalah Melayu ditonjolkan. Selepas gerai ikan bakar, gerai buah-buahan dan gerai atas pokok dirobohkan, timbul pula isu Kampung Jalan Pokok Asam, yang juga melibatkan orang Melayu.
Sebelum ini ketika berhadapan dengan kritikan berhubung banyak gerai Melayu dirobohkan, kerajaan negeri menafikan.
Kerajaan pimpinan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan serta risalah yang menyatakan lebih banyak tindakan dikenakan ke atas peniaga bukan Melayu.
Maka sesetengah orang Melayu menerima bulat-bulat kenyataan itu. Mereka mudah lupa seperti kata Dr. Mahathir Mohamad. Lupakah orang Melayu bahawa di Pulau Pinang, jumlah peniaga yang teramai adalah bukan Melayu? Berapa kerat sangat orang Melayu yang berniaga di pulau itu?
Paling ramai ketika bazar Ramadan…itu pun kecoh satu pulau. Kalau masuk pusat beli-belah, memang ramai orang Melayu tetapi sebagai jurujual bukannya peniaga.
Jadi fahamilah kira-kira mudah, jangan terlalu asyik dibuai angka itu. Ini bukan soal rasis atau perkauman tetapi kenyataan.
Berbalik kepada kampung Melayu, berapa lama lagi kampung-kampung di sekitar Georgetown (sebelah pulau) seperti di Sungai Pinang, Jalan Perak, Gelugor dan Tanjung Tokong mampu bertahan?
Hakikatnya, lambat laun perkampungan Melayu akan terhakis. Nasib baik ada Koperasi Melayu Pulau Pinang yang membina rumah pangsa untuk orang Melayu.
Maka dapatlah mereka bertahan di tengah-tengah pembangunan yang semakin pesat itu. Jika tidak, mereka terpaksa ‘lari’ ke Telok Bahang atau Balik Pulau atau ke Kulim dan Sungai Petani di Kedah.
Mungkin Melayu Pulau Pinang juga bernasib baik kerana masih tinggal di tanah wakaf. Tetapi apakah mereka juga akan mengalami nasib yang sama seperti penduduk di Jalan Pokok Asam? Mungkin yang tinggal hanya tanah kubur dan masjid.
Kampung-kampung Melayu mungkin akhirnya akan menjadi `jeruk’ seperti `pala dan asam’. Apakah Kampung Makam juga akan dimakamkan satu hari nanti? Jika ini berlaku, ia adalah satu episod yang amat menyedihkan bagi orang Melayu.
Semoga tanah-tanah wakaf akan dilindungi dan menjadi tempat orang Melayu terus berteduh di situ. Tetapi pemimpin Melayu yang ada `sedikit kuasa’ termasuk dalam parti politik perlulah melakukan sesuatu untuk mempertahankannya. Ingatlah bahawa pembangunan tidak dapat dielakkan tetapi janganlah sampai kehidupan yang dinikmati selama ini musnah.
Kepada siapa Melayu Pulau Pinang yang merupakan minoriti mahu mengadu nasib? Dengan minoriti yang berpecah kepada Melayu UMNO, Melayu Gerakan, Melayu Pas, Melayu PKR dan Melayu DAP, apakah terbela nasib mereka?
Pemimpin Melayu pula tidak seharusnya bercakaran sesama sendiri. Mereka harus bangkit walaupun teramat sukar dengan satu semangat baru. Contohi semangat berpasukan seperti dalam pasukan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung. Lihatlah kebangkitan beberapa pasukan yang menghampiri kemuncak kejohanan.
Paling penting untuk dijadikan contoh bagaimana kesebelasan pemain seperti pasukan Jerman adalah muka baru yang mampu memberi nafas baru kepada pasukan itu. Renungi kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengenai semangat berpasukan. Kemudian gabungkan pula dengan semangat kesebelasan muka baru pasukan Jerman. Mungkin gabungan semangat dan muka baru ini, Melayu tidak lagi sekadar menjadi tukang sorak di luar padang sambil makan kuaci atau kacang goreng. Jika tidak, mereka hanya sekadar menang sorak kampung tergadai.
Ingat juga kata-kata orang Pulau Pinang…Balik Pulau Bayan Lepas, di sana terpelau di sini terlepas!
UMA050710007C001-min