BAYAN BARU 28 Sept. – Jambatan Kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Projek 275kV, Bayan Lepas, yang runtuh pada awal pagi 26 September lalu adalah disebabkan struktur binaan tidak dapat menampung berat kabel 275kV.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata kejadian berlaku di jambatan kabel nombor satu di kawasan syarikat Motorola, sebahagian daripada projek yang menghala ke syarikat Intel.
Bagaimanapun, katanya, TNB telah mengambil tindakan segera dengan menarik keluar kabel, membuka semula pepasangan kabel dan menambah cerucuk (piling) di tengah untuk menambahkan kekuatan jambatan itu.
“Pihak projek grid TNB telah memaklumkan kepada Intel mengenai masalah ini. Projek ini dijangka memulakan tugas semula pada akhir November 2024,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Sementara itu TNB menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca runtuhan Jambatan Kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Projek 275kV, Bayan Lepas, pada awal pagi 26 September lalu.
Menurut kenyataan TNB CareLine, pihaknya juga merangka pelan mitigasi bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.
“TNB mengambil tindakan segera untuk membaiki jambatan kabel tersebut dan tiada gangguan bekalan berlaku memandangkan ia adalah projek baharu yang belum dimulatugas. Tiada kecederaan dilaporkan,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, kerja-kerja memperkukuh jambatan kabel sedang giat dijalankan, termasuk penambahan cerucuk di bahagian tengah bagi meningkatkan kekuatan struktur.
“TNB juga memberi jaminan bahawa projek ini akan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
