Khidmat KTM Komuter semakin baik atau bertambah buruk?

SEMALAM, ketika tercari-cari mengenai isu apa yang ingin ditulis, penulis terselak satu blog luahan rasa seorang pengguna KTM Komuter. Beliau ‘tidak bahagia’ dengan perkhidmatan yang berusia 14 tahun itu. Setelah membaca luahannya, penulis mahu membicarakan isu ini. Walaupun beberapa rakan meminta supaya disentuh isu bai’ah, tetapi penulis beritahu: ‘‘Ana dah muak dengan politik’’. Kata mereka lagi, ini bukan politik tetapi ada kaitan dengan agama.

Penulis menjawab, ‘‘Kalau soal agama, ana tidak ada tauliah nak ulas’’. Tetapi penulis maklumkan kepada rakan-rakan itu bahawa dalam politik, kadangkala agama ditolak ketepi asalkan niat mereka tercapai. Kata orang, politik menghalalkan cara. Ada perbuatan atau percakapan yang dilarang tetapi bagi sesetengah orang politik, ia dibolehkan. Begitu juga sebaliknya. Ada perkara betul dianggap tidak betul dan yang tidak betul, dianggap betul. Penulis beritahu lagi, kerana politik ada di kalangan orang parti ‘sakit’, bukannya ‘sakit tubuh badan’ tetapi sakit fikiran dan jiwa mereka.

Ada yang boleh dianggap ‘sasau’, ‘gila’, ‘sewel’, ‘nyanyuk’, ‘merapu’ dan macam-macam lagi. Maka daripada melayan ‘penyakit’ seperti ini, lebih baik penulis membangkitkan isu rakyat yang memerlukan perhatian orang politik yang tidak ‘sakit’ ini serta keazaman politik kerajaan. Dan ini juga bukan kali pertama penulis menyelak isu ini. Maaflah rakan-rakan di KTM Komuter kerana membangkitkan lagi cerita lama ini.

Secara kebetulan pula, jadual perkhidmatan KTM Komuter berubah lagi. Tidak pasti perubahan kali ke berapa. Tetapi yang pasti antara tujuannya adalah untuk memastikan ketepatan waktu ketibaan tren. Selama ini jadual ketibaan tren tidak memuaskan.

Menurut penulis blog berkenaan, apabila tren tiba di stesen, polis bantuan meniup wisel sana sini memberitahu penumpang supaya beri laluan dahulu. Malahan katanya, ada pegawai KTM yang meluru datang dan menjerit mengarahkan penumpang himpit ke tengah. ‘‘Menjerit bagaikan penumpang yang berpeluh menunggu tren tiba tidak beretika dalam mencari kedudukan selesa dalam tren,’’ kata penulis itu.

Beliau membangkitkan pelbagai masalah lagi termasuk tren yang tiba-tiba berhenti di atas landasan di antara stesen dan pendingin hawa yang tidak berfungsi. Kesimpulannya beliau menyifatkan khidmat komuter adalah uzur. Dan baginya menaiki komuter ke tempat kerja tidak seindah dulu. Baginya lebih baik kembali menggunakan kereta.

Berbalik kepada penjadualan semula mulai 1 November lalu, pengumuman yang dikeluarkan ialah KTM Komuter akan berlepas dengan kekerapan 15 minit pada waktu puncak bagi sektor berkepadatan tinggi iaitu Sungai Buloh – Kajang dan Shah Alam – KL Sentral. Manakala para penumpang Rawang, Seremban, Sentul dan Pelabuhan Klang masih boleh menikmati perjalanan dengan KTM komuter pada kekerapan 30 minit. Di luar waktu puncak pula kekerapan ialah 30 minit bagi semua sektor.

Waktu puncak yang dimaksudkan ialah antara 6.30 hingga 9.30 pagi (waktu orang ramai pergi kerja) dan 4.45 petang hingga 8.30 malam atau 9 malam (waktu pulang kerja). Seingat penulis, pada 17 Mei 2008, penjadualan semula dilakukan dalam usaha menangani masalah kesesakan dan kelewatan tren. Mengikut jadual baru itu (2008), kekerapan tren bagi setiap 20 minit sepanjang hari dan bukan lagi 15 minit pada waktu puncak sementara kekerapan 20 minit pada waktu luar puncak. Hasrat KTM ialah dengan penjadualan semula itu ia mampu meningkatkan ketepatan waktu ketibaan tren daripada 70 peratus kepada 90 peratus. Berbanding dengan 2008, adakah penjadualan semula 1 November 2009 sebagai pembaharuan atau satu langkah berundur ke belakang? Masa menunggu dari 15 minit kepada 20 minit dan kini 30 minit. Adakah ini pembaharuan? KTM akan memberi jawapan bahawa langkah itu bagi mengelakkan jadual ketibaan tren terjejas.

Tetapi apakah kesannya kepada penumpang? KTM harus ingat bahawa komuter bergerak di kawasan Lembah Klang – bermula di Rawang hingga Seremban dan Pelabuhan Klang – Sentul. Ia bukan perkhidmatan di kampung atau pinggir bandar antara Rawang – Ipoh atau Seremban – Gemas. Ia juga bukan perkhidmatan Ipoh – Bukit Mertajam atau Bukit Mertajam – Sungai Petani.

Di Lembah Klang, ketika ini sudah tidak ada lagi istilah waktu puncak. Warga Lembah Klang ‘hidup’ 24 jam. Lihatlah jalan raya utama di sekitar Kuala Lumpur dan pinggirnya. Kesesakan bukan lagi ketika orang pergi kerja atau sebaliknya. Kesesakan berlaku sepanjang masa, tidak terbatas pada waktu tertentu. Begitu juga dengan pengguna komuter.

Akibat penjadualan semula ini, tren mungkin datang tepat pada waktunya tetapi jumlah penumpang yang ‘terkandas’ di stesen meningkat. Bayangkan jika terlepas tren pukul 3 petang, bermakna anda perlu menunggu setengah jam lagi. Jika tren yang datang itu bagaikan sardin dalam tin dan anda tidak sanggup masuk berasak-asak di dalam koc, maka masa menunggu meningkat kepada satu jam. Itu tidak termasuk jika tren dibatalkan atau mengalami kelewatan.

Apa yang dapat diperhatikan, apabila kekerapan dikurangkan selepas waktu puncak, tren dibatalkan, maka jumlah penumpang bagi setiap perjalanan meningkat sehingga `perut’ komuter bagaikan tin sardin.

Maka tidak hairanlah sekiranya seorang pembaca baru-baru ini dalam Forum Utusan Malaysia memberitahu, beliau hanya sekali dua mendapat tempat duduk dalam perjalanan dari stesen Bangi ke KL Sentral. Itu kira nasib baik terpaksa bergayut dalam jarak yang boleh dianggap dekat sedangkan ada yang berdiri dari Seremban ke Kuala Lumpur. Jangan haraplah pelajar-pelajar atau kakitangan awam yang menggunakan perkhidmatan itu membaca buku, majalah atau surat khabar sementara tiba ke destinasi. Begitulah khidmat KTM Komuter kita.
Kadangkala timbul rasa cemburu apabila melihat ERL begitu pantas melintasi laluan berhampiran stesen Salak Selatan atau Bandar Tasek Selatan. Di dalam `perut’ ERL, tidak ada manusia yang berdiri. Mereka begitu selesa. Apakah dalam sistem pengangkutan awam juga wujud antara dua darjat – si miskin hanya layak menggunakan beca dan si kaya mengguna kereta?

Kerajaan perlu membantu KTM untuk memenuhi kehendak pengguna pengangkutan awam ini. Sudah lama kita mendengar rungutan KTM bahawa mereka kekurangan set tren. Ini punca kelemahan perkhidmatan ini. Khabarnya 2013 baru selesai. Tetapi untuk jangka pendek, apakah jalan penyelesaiannya? Siapa prihatin masalah ini? Berapa ramai wakil rakyat yang peka?

Baru-baru ini, seorang wakil rakyat membangkitkan isu Syarikat Prasarana Sdn. Bhd. yang mengambil alih Rapid KL dan Rapid Penang. Kerajaan dikatakan mahu ‘menyelamatkan’ syarikat yang dikatakan rugi.

Tetapi sebenarnya, ia bukan untuk menyelamatkan syarikat sebaliknya bagi memastikan operasi pengangkutan awam berjalan lancar. Memang syarikat bas Rapid tidak akan mencatatkan keuntungan. Apa tidaknya tambang RM2 boleh pergi ke mana sahaja sehari semalam. Begitu murahnya hati kerajaan ketika itu. Tetapi kini keadaan sudah berubah. Tiada lagi tambang RM2 sehari semalam. Jika kerajaan boleh membantu Rapid KL dan Rapid Penang, kenapa tidak dalam isu KTM Komuter ini? Janganlah membiarkan pengguna komuter melepaskan geram terhadap kerajaan dalam pilihan raya umum. Ya…mereka mungkin ‘cari makan’ di Lembah Klang, bukannya pengundi. Tetapi mereka boleh menterjemahkan kegelisahan saban hari untuk ke tempat kerja melalui ibu bapa, saudara mara atau sahabat handai di kampung tidak kira di Permatang Pauh, Bukit Gantang, Kuala Terengganu atau di mana sahaja!

UM091109-min

 

Related posts

Leave a Comment