HARI ini Dewan Rakyat mula bersidang. Mesyuarat kedua, penggal kedua, Parlimen kedua belas ini akan berlangsung sehingga 30 Jun ini. Persidangan ini adalah kali pertama selepas peralihan kepimpinan UMNO pada 26 Mac lalu. Ini juga kali pertama persidangan selepas rombakan Kabinet berikutan peralihan kuasa pada 3 April 2009. Najib Tun Razak yang sebelum ini sebagai orang No.2 kini menjadi orang No.1 mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Berikutan rombakan itu, akan berlaku perubahan tempat duduk pada persidangan kali ini yang melibatkan barisan Kabinet baru. Pak Lah akan duduk sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas di barisan penyokong kerajaan bersama rakan-rakan senior yang lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Rafidah Aziz. Selain kedudukan dalam Dewan Rakyat, menarik untuk diperhatikan ialah suasana di dalam dewan persidangan itu. Mungkin ramai yang masih ingat beberapa peristiwa yang berlaku pada persidangan lalu. Apakah peristiwa yang akan tercetus dalam persidangan kali ini? Siapa yang akan digantung? Siapa pula yang bakal diarahkan keluar
Dewan atau siapa pula yang akan memulaukan sidang – meninggalkan Dewan ketika bersidang? Menyelak kembali sidang yang lalu, memang hebat kerana pelbagai peristiwa dirakamkan termasuk ‘serangan’ terhadap ahli Parlimen yang mencetuskan kontroversi. Begitu juga dengan ahli Dewan yang terpaksa diarahkan keluar, digantung daripada menghadiri persidangan, diberi amaran dan diminta menarik balik perkataan atau kata-kata yang tidak sepatutnya dilontarkan.
Dijangkakan beberapa isu akan menarik perhatian ahli-ahli Dewan Rakyat kali ini termasuklah isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Pastinya menteri yang bertanggungjawab iaitu Ong Tee Keat akan menjadi tumpuan di samping beberapa orang yang dikaitkan dengan isu ini. Turut dijangka mencuri tumpuan ialah isu-isu pendidikan yang melibatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan jumlah mata pelajaran wajib bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Begitu juga isu-isu berkaitan ekonomi, rasuah dan Indeks Prestasi Utama (KPI). Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib juga dijangka menarik perhatian ahli-ahli Dewan.
Mungkin Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pula akan menjadi tumpuan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang dan juga Barisan Nasional (BN) mengenai cadangan kerajaan perpaduan. Apa pun diharapkan kali ini tidak ada adegan-adegan yang memualkan di Dewan yang dianggap mulia itu seperti yang berlaku sebelum ini. Semuanya bergantung kepada kebijaksanaan ahli-ahli Dewan. Merekalah yang mencorakkan perjalanan Dewan apatah lagi ia akan menjadi perhatian dalam tempoh satu jam disiarkan secara langsung oleh TV1.
Melihat kedudukan dalam Dewan kali ini, apa yang menarik perhatian ialah untuk melihat beberapa orang menteri yang dulunya hanya menjawab soalan dan menggulung perbahasan kini mempunyai peranan sebagai wakil rakyat biasa. Kali ini giliran mereka pula melontarkan soalan. Sebelum ini pun ramai bekas menteri yang duduk di barisan biasa penyokong kerajaan setelah tidak dilantik semula menganggotai Kabinet. Contohnya Azmi Khalid, Radzi Sheikh Ahmad, Dr. Jamaludin Jarjis, Rafidah Aziz dan Ong Ka Ting. Mereka yang secara keseluruhannya kira-kira 15 orang kini menjadi penyokong kerajaan yang akan mempertahankan dasar-dasar kerajaan dan bersedia berhujah dengan anggota pembangkang. Sudah pasti mereka mampu memainkan peranan yang lebih bermakna sebagai penyokong kerajaan. Lebih menarik juga ada antara mereka sebelum ini memegang jawatan penting dalam Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC). Mereka yang sebelum ini menteri dan kini duduk sebagai anggota biasa (selain Pak Lah) ialah bekas Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar; bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan Rafique; bekas Menteri Kerja Raya, Ir. Mohd. Zin Mohamad; bekas Menteri Pelancongan, Azalina Othman Said; bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Shahrir Abdul Samad dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ong Ka Chuan. Begitu juga dengan bekas timbalan menteri. Di kalangan mereka ini, sudah ada pengalaman sebagai anggota Parlimen biasa kecuali Azalina yang sebelum ini dilantik terus sebagai menteri selepas memenangi pilihan raya umum.
Apa yang diharapkan, mereka ini bakal mengisi kekosongan barisan penyokong kerajaan yang lalu yang kini dinaikkan pangkat sebagai timbalan menteri atau menteri. Barisan penyokong kerajaan yang sebelum ini aktif bangun ketika membahaskan sesuatu isu kini sudah pun berada di kedudukan timbalan menteri seperti Razali Ibrahim, Dr. Puad Zarkashi, Ahmad Maslan, Mukhriz Mahathir dan sebagainya. Diharapkan mereka aktif seperti yang ditunjukkan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Ba- risan Nasional (BNBBC), Tiong King Sing serta rakan-rakan seperti Mohamad Aziz dan Bung Moktar Raden.
Pada masa yang sama juga, terdapat beberapa penampilan semula seperti Shahrizat Abdul Jalil sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat serta penampilan muka baru termasuklah Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Raja Nong Chik dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Jamil Khir Baharom. Sidang yang bermula hari ini sudah tentu akan menguji sejauh mana tahap kemampuan atau kewibawaan Ahli Dewan Negara (senator) yang baru pertama kali dilantik dan diberi kepercayaan sebagai menteri dan timbalan menteri. Bagi Dr.Koh Tsu Koon pula, beliau yang turut dilantik sebagai senator sudah ada pengalaman sebagai Ahli Parlimen Tanjong sebelum ditewaskan oleh Lim Kit Siang yang berhijrah ke Pulau Pinang. Untuk rekod di kalangan senator, empat menjadi menteri dan tujuh sebagai timbalan menteri.
Apa yang diharapkan, perjalanan Dewan kali ini dapat berjalan lancar dan tidak mencetuskan suasana ‘huru hara’ dengan pelbagai insiden yang memalukan walaupun sudah seringkali ditegur oleh Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat. Titah ucapan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini juga perlu diberi perhatian supaya ahli-ahli Dewan dapat menjaga tingkah laku mereka semasa bersidang. Kepada ahli-ahli Yang Berhormat selamat bersidang!