Tanggungjawab moral RUU Tembakau

KUALA LUMPUR 25 Julai – Pemimpin politik mempunyai tanggungjawab moral untuk sependapat mempersetujui Rang Undang-undang (RUU) Tembakau dan Merokok yang dijadual dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, minggu ini.

Melalui surat terbuka kepada 11 pemimpin, Pakar Perunding Kesihatan Awam, Prof. Dr Lokman Hakim Sulaiman  meminta semua pemimpin parti memberi sokongan kepada RUU itu walaupun kaedah terbaik pengharaman sepenuhnya (total ban) tembakau dan merokok seperti di  Brunei.

“Negara juga terlepas peluang untuk mengharamkan vape pada 2016 seperti yang dilakukan Singapura.

Ketika pembentangan Kabinet pada 2016, pengharaman vape adalah antara pilihan yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Disebabkan kerajaan tidak mahu mengharamkannya secara penuh, maka pelaksanaan Generasi Penamat (GEG) adalah alternatif, iaitu pengharaman berperingkat,” katanya.

Surat terbuka itu ditujukan kepada 11 pemimpin politik iaitu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Parti Bersatu Sabah, Dr Maximus Ongkili; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari Abang Openg; dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

Selain itu, Presiden Warisan; Mohd Shafie Apdal; Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Wong Soon Koh; Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mukhriz Mahathir; dan Presiden Parti Bangsa Malaysia, Larry Sng.

Mengulas lanjut, Dr Lokman Hakim, berkata peraturan sedia ada sudah menghalang penjualan hasil tembakau kepada kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

“Prevalen merokok dalam kalangan remaja berumur bawah 17 tahun masih di bawah 15 peratus berbanding orang dewasa yang boleh mencecah 40 dan 45 peratus.

“bawah GEG, kita hanya mahu memanjangkan tempoh ‘perlindungan’ kepada kanak-kanak dari tahun ke tahun.

“Tahun ini – 17 tahun, tahun depan – 18 tahun, tahun berikutnya – 19 tahun, dan seterusnya sehinggalah mereka tua. Logiknya dengan kaedah ini, kita akan mencapai prevalen di bawah 15 peratus seperti disasarkan, suatu hari nanti,” katanya.

Beliau menjelaskan pada 2045, generasi yang berumur 18 tahun pada 2023 akan berusia 40 tahun, dan prevalen merokok generasi itu kekal di bawah 15 peratus, tidak seperti generasi sekarang yang berusia 40 tahun dengan prevalen melebihi 40 peratus.

Dr Lokman Hakim memaklumkan, beliau sudah meneliti kenyataan beberapa pemimpin politik dalam media arus perdana mahupun media sosial.

“Bagaimanapun, saya amat terkilan dengan kenyataan retorik sebilangan pemimpin politik yang tidak menyokong, menzahirkan kebimbangan tidak berasas atau meletakkan syarat sebelum menyokong, yang sebahagian besarnya mengalunkan nada sama dengan pihak industri.

“Sebab itu, saya terpanggil dalam penulisan saya sebelum ini untuk meminta parti dan pegawai parti mengisytiharkan kepentingan mereka berkait industri rokok dan vape.

“Jika pemimpin politik atau parti menerima sumbangan kewangan daripada syarikat rokok atau vape, sewajarnya Yang Berhormat mengisytiharkan kepentingan parti sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan dengannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ramai Ahli Parlimen mempersoalkan keberkesanan atau mahu kepastian mengenai keberkesanan pelaksanaan dan penguatkuasaan, khususnya GEG.

“Persoalan saya, apakah sebenarnya pendirian atau pegangan terhadap rokok dan vape? Apakah Yang Berhormat berpendirian masih ada kebaikan dalam penggunaan tembakau dan vape?

“Tembakau tidak sama dengan alkohol, sebab itu tembakau adalah satu-satu produk komoditi yang dikawal bawah instrumen antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (FCTC) kerana buruknya kesan tembakau dan merokok, termasuk vape,” katanya

Related posts

Leave a Comment