Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi ‘hiasan’

BANYAK ‘peristiwa’ yang akan berlaku hari ini. Dalam politik, sudah pasti isu kerajaan perpaduan yang khabarnya akan berlaku beberapa pertemuan yang diatur oleh Pas, parti yang mencetuskan idea tersebut. Difahamkan Pas akan menemui rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang yang kini agak cemas dengan isu kerajaan perpaduan. Di Dewan Rakyat pula, isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dijangka menjadi perhatian. Fokus tentulah kepada Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Sejak minggu lepas, mereka sering berbalas kecaman dan tuduhan melalui media dan ruang siber. Hari ini mereka akan bertentang mata. Tee Keat dijangka membentangkan kenyataan menteri mengenai PKFZ setelah sebelum ini beliau dituduh ‘melarikan diri’ daripada Parlimen.

Sama-samalah kita nantikan apakah episod hari ini akan berakhir dengan baik atau akan timbul cerita baru yang lebih panas. Ingin lari daripada politik, penulis hari ini ingin menulis berkaitan merokok. Isu lama tetapi perlu diperbaharui. Pada Isnin terakhir tahun lalu, hari pertama ruangan ini muncul 29 Disember 2008, penulis sudah menyentuh isu rokok ini di bawah tajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia. Antara lain dalam tulisan pertama di ruangan Selak selepas berhijrah dari Politik Minggu Ini di Mingguan Malaysia, penulis ada menyebut mengenai peraturan mewajibkan pengeluar rokok mencetak amaran kesihatan bergambar (imej ngeri) pada kotak rokok mulai 1 Januari 2009. Bagaimanapun peraturan itu hanya diwajibkan mulai 1 Jun 2009 walaupun jiran kita seperti Singapura dan Thailand sudah melaksanakannya. Tidak apa kita terkebelakang asalkan peraturan itu menjadi kenyataan. Tetapi sejauh manakah peraturan itu akan menyedarkan perokok?

Mengikut peraturan, penjual yang menjual bungkusan rokok yang tidak memaparkan amaran kesihatan bergambar selepas 1 Jun boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Amaran itu juga tidak boleh dihalang daripada penglihatan oleh apa-apa benda, alat atau cara. Penjual yang melakukan kesalahan ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya. Tetapi hari ini, sudah ada usaha untuk ‘memadamkan’ imej ngeri itu. Kotak khas yang menarik dan berwarna warni dijual bagi melindungi imej ngeri pada kotak rokok itu. Sebelum ini pun, ada kotak khas yang memberi kemudahan kepada perokok memindahkan rokok mereka. Apakah selepas ini akan diadakan peraturan setiap kotak khas itu perlu bergambar imej ngeri? Atau sebarang penjualan kotak seumpama itu diharamkan? Mungkin sekali lagi satu peraturan akan diwujudkan. Dan akan bertambahlah koleksi peraturan atau undang-undang bagi ‘memerangi’ perokok.

Semalam, dalam usaha mendidik masyarakat supaya tidak merokok, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, M.Saravanan melancarkan program Pasar Raya Bebas Asap Rokok di Pasar Raya AEON, AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur. Tidak pasti sama ada Saravanan seorang perokok. Jika beliau merokok, selepas ini, diharapkan Ketua Penerangan MIC itu juga tidak akan merokok. Semoga pasar raya itu juga tidak menjual rokok supaya ia benar-benar bebas daripada rokok. Tidak rugi kalau pasar raya sebesar itu tidak menjual rokok.

Setakat ini, tidak kurang daripada 20 kawasan diwartakan sebagai zon larangan merokok termasuk lobi hotel dan ruang pejabat berhawa din- gin. Turut terlibat pusat hiburan, hospital atau klinik, lif awam, kenderaan awam, tempat makan berhawa dingin, bangunan pejabat Island dan Peninsular Kuala Lumpur, bangunan Menara Esso Kuala Lumpur, lapangan terbang (kecuali kawasan yang dikhaskan), premis kerajaan, dewan dan institusi pendidikan tinggi.

Turut menjadi kawasan larangan merokok ialah tadika, taman asuhan kanak-kanak, hentian pengangkutan awam, sekolah, kaunter perkhidmatan bank dan institusi kewangan, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Bhd. dan Pos Malaysia Bhd., kompleks membeli-belah, kompleks sukan, stadium dan stesen minyak.

Zon larangan ini diperluaskan bagi memastikan perokok tegar tidak mengganggu dan menjejaskan kesi- hatan mereka yang tidak merokok. Bagaimanapun, kerajaan bukan bertindak kejam dalam larangan merokok kerana di sesetengah tempat, perokok yang ‘ketegar’ dan ketagih mempunyai tempat khas macam tempat khas menukar lampin bayi. Tetapi apa yang menyedihkan, tidak ada penguatkuasaan di zon larangan merokok. Pergilah ke tempat berkenaan, pasti ada yang tidak segan silu merokok. Contohnya di sebuah restoran berhawa dingin di Daya Bumi, perokok bebas merokok. Asap rokok berkepul-kepul dilepaskan. Naik rimas. Nyatalah undang-undang dan peraturan sekadar hiasan.

Bagi penulis, sukar untuk menyedarkan para perokok. Mereka tahu merokok membahayakan diri, keluarga dan masyarakat. Mereka tahu asap rokok mengganggu keselesaan orang lain sehingga rambut, baju orang yang berhampiran mereka berbau asap rokok. Perokok juga tahu bau busuk rokok yang keluar daripada mulut mengganggu keselesaan makmum di kiri kanan mereka ketika menunaikan solat berjemaah. Mereka tahu semuanya itu. Tetapi peduli apa? Dua minggu lalu, penulis sempat menunaikan solat Jumaat di sebuah kampung di kawasan Parlimen Permatang Pauh. Pada hari itu secara kebetulan, imam membaca khutbah mengenai rokok. Begitu lantang imam menghuraikan bahaya merokok. Tetapi selepas solat, sebaik sahaja selesai berdoa, penulis terpandang seorang jemaah berserban putih begitu kalut mengundurkan keretanya untuk keluar dari laman masjid sambil di mulutnya, sudah hampir separuh rokok disedutnya.

Ketika itu teringat kata-kata Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dalam kuliah Jumaatnya di Kota Bharu pada 27 Mac lalu. Menurut Mursyidul Am Pas itu, umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman mereka melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu. Katanya, amalan menghisap rokok dikeji kerana diharamkan agama dan doktor disebabkan ia memudaratkan kesihatan.

‘‘Contohnya lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang-undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu,’’ katanya seperti dilaporkan Bernama. Bila difikirkan peristiwa selepas khutbah Jumaat itu, penulis mengakui kebenaran kata-kata Nik Aziz. Benarlah, lembu tidak faham apa yang manusia cakapkan.

UM220609-min

 

Related posts

Leave a Comment