BUKAN berita mengejutkan! Seperti dijangka, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti semalam. PKR layak memenangi kerusi itu kerana telah diberi laluan mudah apabila Barisan Nasional (BN) tidak meletak calon sebagai tanda tidak bersetuju dengan cara pengosongan kerusi itu dilakukan. Dan di kalangan empat calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Penanti itu, PKR adalah satu-satunya parti politik yang bertanding sementara yang lain adalah calon Bebas. Kehadiran calon Bebas sekadar tidak mahu memberi kemenangan percuma kepada PKR. Dengan sokongan rakan-rakan seperti DAP dan Pas, calon PKR tidak menghadapi masalah berhadapan dengan calon Bebas. PKR juga layak menang kerana PRK itu adalah ciptaannya sendiri dan awal-awal sudah menjangka mampu memenanginya.
Seperti yang diselak pada minggu lalu, PRK ini hanya sekadar ingin mencari calon Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) yang dikosongkan. Maka fokus kepada hasil pengundian itu adalah melihat sejauh mana pengundi-pengundi yang selama ini menyokong BN akan keluar mengundi. Begitu juga dengan pengundi-pengundi yang me- mihak kepada Pas. Peratusan keluar mengundi dan majoriti yang diperoleh juga menjadi perhatian. Hasilnya, ternyata, sahlah majoriti pengundi BN tidak keluar mengundi jika diambil kira jumlah undi yang diperoleh calon PKR. Mereka hilang minat mengundi kerana cara kerusi itu dikosongkan.
Mansor memperoleh 6,052 undi berbanding jumlah undi yang diperoleh Mohammad Fairus Khairuddin pada pilihan raya umum lalu iaitu 7,346 undi. Ke mana perginya lagi 1,294 undi? Mereka sama ada tidak keluar mengundi atau mengundi calon Bebas. Adakah jika BN bertanding, mereka ini akan beralih arah? Mungkin Mansor boleh berbangga kerana majoriti yang diperolehnya dalam pertandingan dengan calon-calon Bebas mengatasi majoriti Mohammad Fairus. Undi yang diperoleh Mansor juga lebih sedikit berbanding undi yang diperoleh calon PKR (dulunya Keadilan) pada tahun 2004. Ketika itu Anuar Shaari (yang kini sudah meninggalkan PKR) memperoleh 5,528 undi. Pada tahun 1999 pula, calon Keadilan memperoleh 6,405. Maknanya sokongan tetap yang ada pada PKR di Penanti tidak kurang daripada 5,000 orang.
Bagaimanapun, berdasarkan jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding, ternyata pengundi-pengundi di Penanti sudah muak untuk keluar mengundi. Mereka bukan kemaruk untuk mengundi kerana hari pengundian bukan lagi datang empat atau lima tahun sekali tetapi sudah menjadi setahun sekali – macam sambut hari raya. Malahan dalam setahun kalau ada dua hari raya, mereka meriahkan satu hari raya sahaja. Jika Hari Raya Aidilfitri, sambutannya begitu meriah, belum pun puasa bermula, pelbagai persiapan dibuat tetapi apabila tiba Hari Raya Aidiladha, sambutannya kurang meriah kecuali di negeri-negeri Pantai Timur.
Maka hari mengundi yang kerap lebih-lebih lagi bagaikan sengaja dicipta juga menyebabkan pengundi-pengundi menganggapnya sebagai tidak penting seperti kata peribahasa ‘keluar tak mengganjilkan, masuk tak menggenapkan’. Untuk rekod, ini adalah kali kedua pengundi di Penanti dalam Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi pada pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Kali pertama mereka keluar mengundi pada 26 Ogos 2008 apabila Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar Ibrahim bertanding.
Maka tidak hairanlah apabila pe-ratusan keluar mengundi di Penanti semalam paling buruk dalam sejarah pilihan raya. Namun kemenangan sudah di dalam tangan Mansor. Usahlah dipertikaikan lagi pengundi-pengundi yang tidak mahu keluar mengundi. Tidak perlulah memaksa orang yang tidak sudi untuk mengundi. Mengundi hak mereka dan jika mereka tidak mahu keluar mengundi kerana tidak berkenan dengan calon atau parti, maka lupakan sahaja undi mereka. Biarlah mereka hendak ke mana pada hari mengundi – nak ikut rombongan, nak pergi kenduri kahwin, nak berkelah atau nak ziarah saudara mara, biar- kanlah. Apa yang penting, kemenangan sudah di tangan PKR. Parti itu tidak hilang kerusi dan tidak rugi apa-apa. Terimalah keputusan dengan hati terbuka.
Apa pun, pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) sudah menanti kehadiran Mansor Rabu ini. Beliau boleh meneruskan khidmat kepada rakyat sesudah wakil rakyat yang lalu meletak jawatan untuk melanjutkan pelajaran. Kini apa yang penting, Mansor perlu bekerja untuk pengundi-pengundi di DUN Penanti dan rakyat negeri itu seluruhnya supaya pada pilihan raya umum nanti, beliau tidak mengalami masalah untuk mengekalkan kerusi itu. Beliau perlu bekerja keras dan meyakinkan pengundi dan rakyat bahawa beliau layak menjadi wakil rakyat di kawasan itu seterusnya sebagai TKM1. Dengan kerja kuat, beliau boleh menambah jumlah undi pada pilihan raya umum nanti dan tidak menerima nasib seperti yang dialaminya sebelum ini apabila ditolak di Parlimen Balik Pulau (1999), di DUN Seberang Jaya (2004) dan di DUN Pulau Betong pada 2008. Justeru, jadilah wakil rakyat untuk semua bukan sekadar kepada 6,052 pengundi sahaja. Selamat bertugas sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
UM010609-min