Tekad Azam Baki selepas dilantik semula

PUTRAJAYA 12 Mei –  Azam Baki menyatakan komitmen untuk terus menerajui agensi penguat kuasa dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Katanya, langkah itu adalah demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera.

“SPRM juga komited untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan susulan pelantikan semula beliau mengetuai SPRM.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan pelantikan semula Azam itu mulai hari ini hingga 12 Mei 2026.

Sebelum ini, Azam, 62, sudah dua kali dilantik semula bagi memegang jawatan itu masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Azam turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikannya semula berkuat kuasa mulai hari ini.

“Sesungguhnya perkenan ini merupakan suatu penghormatan besar kepada saya dan seluruh warga SPRM.

“Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah ini,” katanya.

NNN

Related posts

Leave a Comment