Kes HFMD meningkat 266 peratus

PUTRAJAYA 12 Mei – Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara menunjukkan peningkatan 266 peratus, dengan 99,601 kes dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 2025 (ME 17/2025) berbanding 27,236 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), daripada jumlah itu 10,421 kes (10 peratus) adalah berkaitan wabak, manakala 89,180 kes (90 peratus) berlaku secara sporadik dan setakat ini tiada kematian berkaitan HFMD dilaporkan.

Lima negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi adalah Selangor dengan 27,118 kes (27.2 peratus), diikuti Johor 9,864 kes (9.9 peratus), Perak 9,347 kes (9.4 peratus), Kelantan 7,147 kes (7.2 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,850 kes (6.9 peratus).

Secara kumulatif, terdapat 2,649 wabak berbanding 1,339 wabak bagi tempoh sama pada 2024, iaitu peningkatan 49 peratus.

“Daripada keseluruhan wabak ini, sebanyak 578 berlaku di taska (22 peratus), 480 di tadika (18 peratus), 292 di tabika (11 peratus), dan 251 di pra-sekolah (9 peratus),” kata kenyataan itu.

KKM memaklumkan 38,285 premis diperiksa di seluruh negara membabitkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah dan rumah kediaman.

Daripada jumlah itu, sejumlah 1,140 (tiga peratus) premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], manakala 430 (satu peratus) premis lagi ditutup secara sukarela.

Selain itu, sebanyak 220 sesi ‘townhall’ dan taklimat dilaksanakan di seluruh negara oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk memberi pendidikan kesihatan bagi membendung penularan HFMD.

KKM turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga mengamalkan langkah pencegahan, seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas serta memastikan permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air atau cecair disinfeksi.

“Barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak boleh dikongsi.

Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD,” kata kenyataan itu.

Perkembangan terkini situasi berhubung HFMD, dengan maklumat lanjut boleh dicapai di laman infosihat.moh.gov.my dan facebook KKM.

Nnn

Related posts

Leave a Comment