PUTRAJAYA 27 Jun – Satu kematian akibat Covid-19 dilaporkan dengan jumlah kes harian pula turun kepada 2,003 semalam berbanding 2,302 kelmarin.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian 35,746 dengan jumlah keseluruhan kes pula meningkat kepada 4,556,664.
Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal COVIDNOW, daripada jumlah kes baharu itu, tiga adalah kes import.
Sebanyak 28,151 kes aktif dilaporkan di mana 27,025 individu atau 96.1 peratus sedang menjalani kuarantin di rumah manakala hanya 13 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Seramai 1,802 pesakit dirawat di hospital dengan 31 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Sementara itu Selangor masih mendahului negeri-negeri lain dengan merekodkan kes harian tertinggi iaitu 690 berbanding 667 kelmarin diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 517 (664), Pulau Pinang 179 (173), Sabah 113 (192), dan Perak 101 (129).
Kes terendah pula adalah di Pahang 20 berbanding 39 kelmarin, Terengganu 17 (18), Kelantan 14 (11), Perlis 7 (10) dan Wilayah Persekutuan Labuan 2 (4).
