SUBANG JAYA 8 April – Sebanyak 88 daripada 571 unit kenderaan yang berada dalam jarak radius 325 meter dari lokasi kejadian letupan paip gas di Putra Heights, di sini, Selasa lalu, disahkan mengalami kerosakan melebihi 50 peratus.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah keseluruhan kenderaan itu juga, sebanyak 372 kenderaan didapati mengalami kerosakan kurang daripada 50 peratus.
“Baki 151 kenderaan lagi didapati tidak terjejas dan semua dapatan ini diperoleh berdasarkan penilaian Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, sebanyak 270 unit kediaman yang sebelum ini terjejas akibat kejadian letupan paip gas itu disahkan selamat untuk diduduki semula.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding pengumuman semalam yang menyatakan bahawa 151 unit kediaman dikategorikan sebagai boleh diduduki dan hari ini jumlah itu bertambah kepada 270 unit daripada keseluruhan 437 unit.
“Daripada 270 unit kediaman ini, ada beberapa di antaranya perlu dilakukan pembaikan kecil selepas mengalami sedikit kerosakan,” katanya.
Nnn
