SUBANG JAYAb8 April – Polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kematian dan kehilangan harta benda dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights, di sini, kata Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan.
Beliau berkata, jika benar ada kematian, pihak berkaitan yang mempunyai maklumat boleh boleh tampil membuat laporan polis.
Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang laporan dibuat, begitu juga dakwaan yang tular di media sosial kononnya ada penduduk yang mengalami kehilangan harta benda, tetapi setakat ini tiada sebarang laporan dibuat.
Justeru, beliau menegaskan tidak ada sebab atau sebarang kepentingan untuk pihak berkuasa menyembunyikan maklumat penting seperti itu.
“Saya minta untuk mana-mana pihak tidak mudah terpedaya dengan berita tidak benar dan meminta netizen untuk tidak cuba menimbulkan spekulasi sehingga boleh mendatangkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Hussein berkata, untuk kawalan keselamatan dan pemantauan sahaja, Polis Kontinjen Selangor, menempatkan 120 pegawai dan anggota mengawasi kawasan yang terjejas.
“Kami menempatkan penugasan pegawai dan anggota polis di setiap simpang, setiap laluan yang ada termasuk di kawasan taman-taman perumahan dan kampung yang terjejas.
“Saya tak nampak kenapa ada pihak cuba menyembunyikan elemen siasatan, malah kami turut berkongsi semua kerja-kerja di ground zero (lokasi kejadian) melalui video-video yang diambil menggunakan dron,” katanya.
Mengenai kerja-kerja membawa keluar jentera jengkaut yang ada di lokasi kejadian, Hussein memaklumkan bahawa proses kerja-kerja penggalian mungkin akan selesai dalam tempoh antara dua hingga tiga hari lagi.
Katanya, kerja-kerja membawa keluar jentera berkenaan memerlukan sedikit masa kerana pihak yang terbabit perlu melakukan kajian bahagian dalam lubang letupan paip gas berlaku.
Nnnn