Andalusia bawa Pak cik OKU tunai umrah

SEPANG  17 Feb. – Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori mental yang dipukul di Pasar Pagi Jalan Padang Astaka, Chukai Kemaman baru-baru ini berangkat menunaikan ibadah umrah awal pagi ini.

Beliau yang dalam kalangan rakan-rakan sekolah dikenali sebagai Paijang ditemani dua anaknya, Nurul Farhana dan Ahmad Faris serta diiringi Adnan Ab Majid, imam  Masjid Kampung Batu 2 1/2 Mak Chili, masjid yang sering dikunjungi OKU berkenaan.

Pakej 17 sehingga 28 Februari itu ditaja sepenuhnya oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) dengan penerbangan SV 0841 akan terus ke Jeddah dan kumpulan 130 jemaah itu akan terus ke Taif sebelum memasuki Makkah.

Hadir di KLIA bagi mengucapkan selamat berangkat adalah Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin yang terawal menawarkan pakej kepada keluarga OKU itu selepas melihat video insiden itu yang tular di media sosial.

Turut hadir Pengarah yang juga Penasihat Undang-Undang Andalusia Ida Riswana Idris dan isteri Paijang, Faridah Abdul Karim bersama anak bongsunya,

Ida Riswana ketika ditemui berkata, penajaan pakej RM7,000 setiap seorang itu adalah sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Andalusia yang sering dilakukan melibatkan suasana atau kumpulan tertentu.

“Ini adalah peluang bagi Andalusia berkongsi rezeki dengan beliau dan keluarga dan di sana nanti dapat berdoa dan meluahkan isi hatinya (di depan Kaabah) supaya peroleh ketenangan dan dapat menjalani kehidupan lebih baik,” katanya.

Menurut Ida Riswana, pakej CSR seumpama itu yang tidak dirancang lebih awal akan berterusan kerana bagi Andalusia, setiap rezeki yang diperoleh, ada bahagian untuk orang lain.

Beliau mengambil contoh, sebelum ini juga, Andalusia turut memberi pakej istimewa kepada sekumpulan jemaah yang terkandas apabila syarikat pengendali umrah gagal menunaikan tanggungjawab menerbangkan jemaah pada saat akhir.

Sementara itu, Ahmad Nor Al Faizan berkata, beliau sudah membuat persediaan untuk menunaikan ibadah umrah dalam tempoh dua minggu dan berharap dapat menunaikannya dengan baik serta peroleh umrah mabrur.

Beliau yang terkejut dan tidak menyangka mendapat tawaran itu bersyukur kerana Andalusia, sebuah syarikat ternama bermurah hati menaja pakej umrah itu.

Ditanya apa yang akan didoakan di sana nanti, Ahmad Nor Al Faizan berkata : “ Doa untuk diri sendiri dan keluarga saya, supaya diberi kesihatan untuk saya dan keluarga dan kebahagiaan keluarga,”

Pada masa yang sama beliau akan turut cuba mendoakan hasrat saudara mara dan rakan-rakan yang ramai “mengirim doa” melaluinya.

Bagi Adnan, imam yang mengiringi keluarga itu berharap dapat membimbing jemaahnya itu semasa di Tanah Suci dan berharap masyarakat akan turut mendoakan yang terbaik supaya ibadah umrah itu berjalan lancar.

“Doakan yang terbaik untuk kami ,” katanya ringkas.

Untuk rekod, insiden mangsa dipukul dalam kejadian 17 Januari lalu menarik perhatian pelbagai pihak setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Susulan kejadian itu, Ahmad Nor Al Faizan yang menghidap bipolar disorder itu dirawat di Hospital Kemaman sebelum dibawa ke klinik pakar psikiatri Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) pada Isnin untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan itu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh lalu bertaburan di atas jalan.

Berikutan itu, beberapa individu yang berada di lokasi tersebut dipercayai telah telah bertindak memukul mangsa.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment