Petronas, Petros bersama jamin kepentingan

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan bergerak ‘sederap’ (serentak) sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan negeri Sarawak.

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim berkata, kemunculan Petros menunjukkan kewajaran untuk memantapkan persefahaman dan kerjasama bagi memenuhi kerukunan di atas semangat Persekutuan.

Katanya, segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus.

Anwar pada Sesi Penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini berkata, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak memperakui aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri berkenaan.

Beliau berkata hasrat itu dipaparkan menerusi Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) dan berkuat kuasa pada 1 Mac, 2025.

“DGO dibaca sekali dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), maka Petros (Petroleum Sarawak Bhd) berperanan sebagai agregator di Sarawak,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Anwar  berkata peranan itu tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikatnya di mana ia bermakna Petronas akan mengekalkan semua perjanjian (obligasi berkontrak) domestik dan antarabangsa yang sedia ada.

Di bawah ordinan itu, Petros dijamin memperoleh gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.

Perdana Menteri berkata Petros juga berhak meluaskan kegiatan yang baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas.

Related posts

Leave a Comment