Sekolah petang pulang lebih awal

PUTRAJAYA 17 Feb. – Sekolah sesi petang yang mempunyai murid dan guru beragama Islam akan menamatkan sesi persekolahan seawal pukul 5.30 petang bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia sepanjang Ramadan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bagi sesi petang persekolahan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula akan tamat pada pukul 5 petang manakala sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.

KPM menyediakan ketetapan berkaitan waktu persekolahan itu bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadat pada bulan Ramadan dengan selesa.

Dalam kenyataannya, KPM memaklumkan pengoperasian sekolah sepanjang Ramadan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah KPM berjalan seperti biasa, sama seperti tahun sebelumnya.

KPM menegaskan ia berdasarkan kepada Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022 yang sedang digunapakai.

KPM turut memaklumkan semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri turut diminta mengingatkan pengetua dan guru besar institusi pendidikan di bawah KPM supaya mematuhi surat siaran terbabit.

Dalam masa sama, KPM menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk kepada maklumat rasmi kementerian dan tidak terpengaruh dengan hantaran media sosial berniat jahat yang cuba mengelirukan masyarakat.

“KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini,” kata kenyataan itu.

NNN

Related posts

Leave a Comment