Bung Moktar naik turun mahkamah lagi

PUTRAJAYA 18 Nov. – Bung Moktar Radin dan isteri bersedia ‘naik turun’ mahkamah sekali lagi susulan keputusan Mahkamah Rayuan memerintahkan pasangan itu membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah membabitkan wang RM2.8 juta berhubung pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Ahli Parlimen Kinabatangan, itu memberitahu beliau dan Zizie Izette Abdul Samad sudah bersedia dan akan menghadapinya.

“Kalau tuntutan (perintah mahkamah) kenalah (hadir),” kata bekas Pengerusi FELCRA itu, ketika ditemui di luar mahkamah

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara membuat perintah itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 September tahun lalu, yang melepas dan membebaskan pasangan itu selepas membenarkan permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri.

Panel kemudian memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen bagi Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap tiga tuduhan terbabit serta menetapkan sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen pada 5 Disember ini.

Mohamed Zaini yang membacakan keputusan panel, berkata keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri terhadap pertuduhan berkenaan, tidak boleh dirayu kerana ia tidak membentuk hak muktamad mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie  Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang,12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada pukul 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Nnn

Related posts

Leave a Comment