Entiti perniagaan GISBH sedang dikenal pasti

KUALA LUMPUR 18 Nov. – Semua entiti perniagaan yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sedang dikenal pasti sama ada dalam mahu pun luar negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha itu dilakukan jawatankuasa bersama membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Polis Diraja Malaysia.

Dr Mohd Na’im  berkata usaha juga sedang digerakkan untuk mengesan lebih banyak maklumat berkaitan aktiviti syarikat serta individu atau kumpulan berkaitan dengan GISBH termasuk di luar negara.

“Mengenai data statistik berhubung angka perniagaan GISBH di luar negara, kami akan bekerjasama rapat dengan pihak polis (untuk dapatkan perincian) dan akan memberikan butiran mengenai bilangan syarikat tempatan dan antarabangsa dimiliki oleh GISBH.

“Jawatankuasa antara polis dan Jakim serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut mengenal pasti pengikut GISBH dalam dan luar negara,” katanya  menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

Aminolhuda inginkan penjelasan mengenai status syarikat dikaitkan dengan GIBSH yang bukan sahaja berada di dalam negara tetapi juga di peringkat global.

Sabtu lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain memaklumkan jawatnkuasa khas sudah mengenal pasti 69 premis di luar negara bernilai kira-kira RM52.4 juta dimiliki GISBH di 15 negara.

Sehingga 31 Oktober, rakan strategik polis di luar negara mengesahkan lokasi 40 premis ini di empat negara dan masih dalam proses untuk mengesahkan lokasi 29 premis lagi dipercayai berada di 11 negara.

Menjawab soalan asal, Zakri Hassan (PN-Kangar), beliau berkata, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjalinkan kerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi bagi menangani isu GISBH.

Katanya, kolaborasi bersama agensi di peringkat negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut dijalankan bagi memastikan langkah yang strategik dan tuntas dapat diambil.

Selain itu, menerusi Jakim, lima langkah diambil untuk menangani isu berkenaan dengan lebih efektif dan berkesan.

Lima langkah berkenaan adalah Pembentangan kajian dan penyelarasan fatwa di peringkat negeri; Penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah perundangan syariah negeri-negeri; Mengadakan program pemulihan akidah secara holistik kepada ahli GISBH.

Jakim juga akan menjalankan pemantauan berterusan secara bersepadu dan mengadakan Program penjelasan fatwa GISBH kepada masyarakat dan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam secara keseluruhannya termasuklah ahli-ahli GISBH.

Tumpuan itu akan dibuat melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif serta berkesan dengan kerjasama MAIN dan Jabatan Agama Islam Negeri serta agensi- agensi lain yang berkaitan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment