Dunia kutuk serangan Israel ke atas Iran

KUALA LUMPUR – Serangan udara Israel ke atas Iran terus mencetuskan kecaman global, menimbulkan kemarahan meluas serta desakan segera untuk gencatan senjata seterusnya menamatkan kitaran keganasan di Timur Tengah.

Media melaporkan Israel melancarkan serangan terhadap ‘sasaran ketenteraan’ di Tehran pada awal Sabtu.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan Iran berjaya memintas serangan udara Israel yang menyasarkan pusat tentera di Tehran, wilayah barat Ilam dan wilayah barat daya Khuzestan, dengan hanya kerosakan terhad.

Semalam, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Zionis Israel ke atas negara berdaulat Iran, terutamanya di Tehran, Karaj, Kashan, Mashhad dan Shiraz pada awal pagi Sabtu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan serangan itu merupakan pelanggaran jelas ke atas undang-undang antarabangsa dan menjejaskan kestabilan serantau secara serius.

“Malaysia menggesa agar tindakan permusuhan dihentikan serta-merta dan kitaran keganasan ditamatkan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar turut menyatakan bahawa tindakan berterusan Israel tanpa sebarang hukuman telah dan akan menjejaskan keselamatan serta kestabilan masa depan Timur Tengah, membawa rantau itu ke ambang konflik yang lebih meluas.

Menurut Wisma Putra,  Kedutaan Malaysia di Tehran sedang memantau dengan teliti perkembangan ini dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas oleh serangan berkenaan.

Di JAKARTA, Indonesia mengecam keras serangan itu, dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan menunjukkan sikap tidak hormat Israel kepada norma undang-undang.

Kementerian Luar Indonesia berkata, semua pihak perlu mengawal diri secara maksimum dan mengelak sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta membawa kepada ketidakstabilan lebih besar di rantau itu.

“Indonesia menegaskan bahawa pendudukan haram Israel di Wilayah Palestin kekal sebagai punca utama konflik di Asia Barat,” menurut kementerian itu dalam satu hantaran melalui X.

Menurut kementerian itu, Indonesia menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, sebagai sebahagian daripada penyelesaian dua negara yang dianggap penting untuk mencapai keamanan berkekalan.

Indonesia sekali gus menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) supaya melaksanakan tanggungjawabnya bawah Piagam PBB.

Di ANKARA,  Turkiye menyifatkan tindakan Israel, yang sedang melakukan genosid di Gaza, bersiap sedia untuk merampas Tebing Barat, dan membunuh orang awam di Lubnan setiap hari, telah membawa rantau itu ke ambang perang lebih luas.

“Sekarang, sudah jelas bahawa menghentikan keganasan Israel di rantau ini telah menjadi tugas bersejarah untuk menjamin keselamatan dan keamanan antarabangsa,” kata Kementerian Luar Turkiye.

Oleh itu, Ankara menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menguatkuasakan undang-undang dan menghentikan tindakan Israel.

Hamas turut mengutuk serangan udara Israel ke atas Iran itu dengan menyifatkannya sebagai ‘pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan’ dan tindakan ‘yang menjejaskan lagi keselamatan serantau serta penduduknya’.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan Zionis terhadap Iran, yang menyasarkan kedudukan ketenteraan di beberapa wilayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Hamas menegaskan, serangan itu ‘melanggar kedaulatan Iran’ dan memburukkan keadaan dengan cara yang boleh menggugat kestabilan serantau, sambil menyalahkan Israel atas ‘akibat daripada pencerobohan yang disokong Amerika Syarikat.’

Di MOSCOW, jurucakap Kementerian Luar Russia menyatakan ‘kebimbangan mendalam’ terhadap serangan Israel ke atas Iran, dengan menekankan bahawa peningkatan konflik antara kedua-dua pihak terbabit mengancam kestabilan dan keselamatan seluruh rantau berkenaan.

“Kami amat bimbang akan ketegangan yang semakin memuncak antara Israel dengan Republik Islam Iran, kerana ia menimbulkan ancaman sebenar terhadap kestabilan dan keselamatan di rantau itu,” katanya dalam kenyataan yang diterbitkan dalam laman sesawang kementerian itu.

Di ABU DHABI, Kementerian Luar Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pula menyeru pihak terbabit bertenang, sekali gus menekankan ‘kepentingan untuk mengawal diri dan bertindak secara bijaksana bagi mengurangkan risiko serta mengelakkan perluasan konflik.’

Kementerian itu menegaskan meningkatkan dialog, mematuhi undang-undang antarabangsa serta menghormati kedaulatan negara adalah penting untuk menangani ketegangan semasa, dan pertikaian harus diselesaikan ‘melalui cara diplomasi daripada konfrontasi dan peningkatan.’

Sementara di MUSCAT, Kementerian Luar Oman turut mengeluarkan kecaman keras terhadap serangan itu, dengan menyifatkannya sebagai ‘pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan (Iran)’ dan ‘pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa.’

Kementerian itu memberi amaran bahawa serangan berkenaan ‘menggalakkan kitaran keganasan dan merosakkan usaha pengurangan ketegangan serta pengekangan krisis melalui cara damai dan diplomatik.’

Di DOHA, Qatar turut mengutuk keras serangan Israel ke atas Iran sebagai ‘pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Iran dan pencabulan jelas prinsip undang-undang antarabangsa.’

Kementerian Luar Qatar menyatakan ‘kebimbangan mendalam mengenai kesan serius yang mungkin timbul daripada peningkatan konflik itu.’

Ia juga menggesa semua pihak terbabit supaya ‘bertenang, menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan cara damai, serta mengelak tindakan yang boleh menggugat kestabilan dan keselamatan di rantau itu.”

Di AMMAN, Kementerian Luar Jordan tidak ketinggalan mengutuk serangan udara Israel ke atas wilayah Iran.

Jurucakap kementerian itu, Sufyan Quda, menegaskan ‘penolakan mutlak kerajaan terhadap peningkatan konflik berbahaya di rantau terbabit dan pencabulan undang-undang antarabangsa.’

Beliau menggesa komuniti antarabangsa supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dan mengambil tindakan segera untuk menghentikan pencerobohan Israel ke atas Gaza, Tebing Barat dan Lubnan sebagai langkah pertama ke arah mengurangkan ketegangan.

Di BEIRUT, Kementerian Luar Lubnan turut mengutuk serangan udara yang dilakukan Israel ke atas beberapa lokasi di Iran, dengan menegaskan serangan itu merupakan ‘pelanggaran kedaulatan Iran dan ancaman serius terhadap keselamatan serta keamanan serantau dan antarabangsa.’

Lubnan menggesa ‘institusi antarabangsa yang berkaitan, terutama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengekang peningkatan tindakan ketenteraan Israel di seluruh rantau itu, termasuk pencerobohan yang sedang berlaku ke atas Lubnan.’

Related posts

Leave a Comment