Cukup-cukuplah minta maaf”

SEPANG 25 Okt. – Pemuda UMNO di semua peringkat di Perak diarah membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan segera diambil terhadap penganjur perhimpunan yang menyaksikan perarakan bendera China di Menara Condong Teluk Intan, Perak, malam tadi.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata Pemuda UMNO mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan segera ke atas insiden pengibaran bendera China itu kerana insiden berkenaan jelas mengguris sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Buat perarakan di tempat awam, sudahlah tiada permit (berhimpun), kibar pula bendera China. Tiada satu pun bendera Malaysia.

Sebelum ini sudah berlaku dalam sekolah (kehadiran tentera laut China), hari ini bawa bendera China berarak di luar pula (sehingga) Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong selaku penganjur perarakan itu meminta maaf.

“Cukup-cukuplah minta maaf dan hari ini saya mengarahkan seluruh Pemuda UMNO di Perak untuk membuat laporan polis dan menjalankan siasatan serta mengenakan hukum keras kepada mereka,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jasin itu turut meminta kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan mengambil tindakan tegas sebagai peringatan kepada semua pihak supaya menjaga sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

“Tolonglah, jangan dah buat kemudian minta maaf, orang dah muak dan bosan. Cukup-cukuplah asyik kita saja yang bersabar,” katanya.

Sementara itu Pas Perak menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden berkenaan yang didakwa menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 iaitu tiada seorang pun boleh mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau di sekolah.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria mendakwa, tindakan berkenaan boleh dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara.

Katanya, dalam video yang disebarkan secara jelas terdapat beberapa kumpulan yang menyertai program itu dilihat mengibarkan bendera China yang langsung tiada kaitan dengan acara sambutan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment