Tibdakan Najib berjiwa besar

KUANTAN 25 Okt. – Permohonan maaf secara terbuka oleh,Najib Razak kepada rakyat Malaysia bukanlah untuk meraih simpati sebaliknya satu tindakan berjiwa besar, kata Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy Wan Ismail.

Menteri Besar Pahang itu berkata beliau meneliti kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu dan dapat merasakan bahawa permohonan maaf dibuat dengan suci hati serta lahir daripada sanubari Najib yang ikhlas.

“Saya berpandangan bahawa kenyataan media itu juga menjelaskan betapa Datuk Seri (Najib) sepanjang menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu sentiasa memikirkan hanya yang terbaik untuk rakyat.

“Sehingga ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas keprihatinan beliau untuk menjaga kebajikan rakyat.

Kenyataan memohon maaf kepada rakyat Malaysia bukanlah kenyataan meraih simpati tetapi tindakan berjiwa besar sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang beliau percaya sebenarnya tidak dilakukan dan setelah diperdaya oleh mereka yang mengambil kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, Wan Rosdy berdoa dan berharap Najib dibebaskan dan keadilan yang sebenar dapat ditegakkan dengan membawa dalang kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke muka pengadilan.

Semalam, bekas  Ahli Parlimen Pekan itu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya,  Mohamad Nizar Najib petang semalam, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Permohonan maaf Najib itu menjelang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Menurut kenyataan itu, Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

Related posts

Leave a Comment