Dua anggota UNIFIL cedera

BEIRUT – Dua anggota pengaman cedera selepas sebuah kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah menara pemerhati di ibu pejabat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Naqoura,

Menurut UNIFIL kereta kebal Merkava Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melepaskan tembakan yang mengenai secara langsung dan menyebabkan mereka jatuh.

Bagaimanapun agensi PBB itu dalam satu kenyataan, berkata kecederaan mereka tidak serius, tetapi anggota berkenaan masih dirawat di hospital.

UNIFIL turut menyatakan, tentera IDF juga melepaskan tembakan ke arah sebuah kedudukan UNIFIL di Labbouneh, mengenai pintu masuk ke bunker tempat anggota pengaman berlindung, serta merosakkan kenderaan dan sistem komunikasi.

Sebuah dron IDF juga dikesan terbang di dalam kawasan UNIFIL hingga ke pintu masuk bunker itu, katanya.

Menurut UNIFIL, tentera IDF sengaja melepaskan tembakan dan merosakkan kamera pengawasan di sekitar lokasi itu pada Rabu.

IDF turut sengaja melepaskan tembakan ke arah pos pemerhati UN 1-32A di Ras al-Naqoura, tempat mesyuarat tiga pihak diadakan secara tetap sebelum konflik, merosakkan lampu dan stesen geganti.

UNIFIL menggesa Israel memastikan keselamatan dan keamanan anggota serta harta benda PBB, sambil menegaskan bahawa “sebarang serangan yang disengajakan terhadap anggota pengaman merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan 1701.”

NNnn

Related posts

Leave a Comment