Tiada apa disembunyikan WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa organisasi itu  telah memberi amaran mengenai koronavirus Covid-19 sejak awal lagi dan tidak menyembunyikan apa-apa daripada Washington mengenai pandemik itu.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata,  tidak ada rahsia di agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu, setelah  Washington menuduh pertubuhan itu meremehkan wabak di China pada peringkat awal.

“Kami telah mengingatkan daripada hari pertama bahawa ini adalah ‘syaitan’ yang harus diperangi semua orang,” kata Dr Tedros ketika menjawab soalan wartawan secara maya dalam satu taklimat media di Geneva, pada 20 April ( waktu Geneva).

Amerika Syarikat mencatat jumlah kematian tertinggi di dunia, dengan lebih 42,000 kematian, menyebabkan Presiden Amerika, Donald Trump, menghadapi kritikan atas cara beliau menangani wabak tersebut.

Washington adalah penyumbang terbesar WHO tetapi  Trump kini membekukan sumbangan itu, sambil menuduh pertubuhan itu salah urus tadbir serta menutup perkara sebenar penyebaran virus itu.

Dr Tedros yang sebelum ini telah menjawab persoalan itu mengulangi kenyataannya bahawa WHO telah mengambil tindakan sewajarnya setelah mengetahui kehadiran virus berkenaan.

Katanya, kehadiran pegawai pemerintah Amerika yang bertugas di ibu pejabat WHO di Geneva bermakna tidak ada perkara yang disembunyikan daripada Washington.

WHO menjelaskan sejak 1 Januari lalu terdapat 15 kakitangan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) – agensi perlindungan kesihatan nasional Amerika – yang ditugaskan secara terperinci untuk bekerjasama dengan pertubuhan tersebut mengenai tindak balas terhadap Covid-19.

“Dengan kehadiran kakitangan CDC bermakna tidak ada yang disembunyikan daripada Amerika, sejak hari pertama kerana mereka adalah warga Amerika yang bekerja dengan kami,” kata Dr Tedros.

Beliau menegaskan bahawa, WHO adalah terbuka. Kami tidak menyembunyikan apa-apa.

“Bukan hanya buat CDC, mereka mengirim mesej, atau yang lain – kami ingin semua negara menerima mesej yang sama dengan segera kerana itu akan membantu negara-negara mempersiap diri dengan baik dan membuat persiapan dengan cepat,” katanya.

Jabatan Negara Amerika antara lain menuduh WHO sebagai terlalu lewat memberi amaran mengenai Covid-19, dan terlalu menghormati China.

Ia mempersoal kenapa WHO tidak bertindak berkaitan satu amaran dari Taiwan pada 31 Disember lalu mengenai kes pneumonia yang tidak lazim di Wuhan.

Perdebatan berlaku mengenai kepentingan e-mel Taiwan itu, yang memaklumkan WHO mengenai laporan dari Wuhan, dan sekurang-kurangnya tujuh pesakit yang diasingkan – satu perkara yang tidak lazim dilakukan bagi penyakit tidak berjangkit.

Amerika berkata pihaknya “amat terganggu bahawa maklumat Taiwan disembunyikan daripada masyarakat kesihatan sejagat, seperti yang dicatatkan dalam kenyataan WHO pada 14 Januari 2020 bahawa tiada petanda adanya jangkitan daripada manusia ke manusia.

Bagaimanapun Dr Tedros menegaskan bahawa WHO menyedari laporan dari Wuhan – dan berkata e-mel Taiwan itu hanya meminta maklumat lanjut.

“Satu perkara yang perlu dijelaskan adalah e-mel pertama bukan dari Taiwan.

Banyak negara lain telah pun bertanya meminta penjelasan. Laporan pertama datang dari Wuhan,” kata Dr Tedros.

Related posts

Leave a Comment