DAP yakin Teresa tak langgar undang-undang

SEPANG 8 Sept. – Pucuk pimpinan DAP yakin Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak melanggar undang-undang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya ketika  menyampaikan pandangan berhubung isu pensijilan halal.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP hanya menyampaikan pandangannya sebagai Ahli Parlimen mengenai dasar kerajaan.

“Teresa tidak melanggar undang-undang dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dengan menyampaikan pandangan terhadap sesuatu dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain memaklumkan, polis membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) terhadap Teresa, membabitkan isu pensijilan halal yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Razarudin berkata, siasatan dibuat susulan lima laporan diterima polis setakat ini, yang dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pihaknya maklum yang Teresa akan dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan berhubung siasatan itu.

“Biro Guaman DAP akan menemani dan memberi nasihat undang-undang kepada beliau dalam proses itu, dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan, Teresa mendakwa, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini menegaskan kenyataan Teresa dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH) dan ia antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Nnn

Related posts

Leave a Comment