PN tentukan Isnin ini MoU peruntukan

KOTA BHARU 7 Sept. – Perikatan Nasional (PN) akan memutuskan Isnin ini sama ada bersetuju atau menolak syarat draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan yang akab diberi kerajaan.

Ketua Whip PN,  Takiyuddin Hassan, berkata perbincangan dan keputusan akan dilakukan Isnin ini dalam mesyuarat bersama semua Ahli Parlimen PN.

“Kita tunggu perbincangan Isnin ini? Kita harap mesyuarat berkenaan akan memperoleh keputusan yang baik,” katanya selepas program penyampaian hadiah Kota Bharu Half Marathon (KBHM) di sini, hari ini.

PN sebelum ini mendedahkan tujuh syarat yang didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan untuk dipenuhi ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti dituntut.

Antara yang menjadi syarat adalah pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R).

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PN hanya akan menerima syarat ditetapkan dalam draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sekiranya ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap tujuh syarat itu,  Tuan Ibrahim berkata, PN juga akan mengkaji semua syarat berkenaan sebelum membuat keputusan.

“Ketujuh-tujuh syarat itu perlu kita kaji dengan teliti kerana sebelum ini Perdana Menteri dalam sidang Parlimen mengatakan tiada syarat (ahli Parlimen pembangkang mendapat peruntukan) dan hanya perbincangan sahaja yang diperlukan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment