Dakwaan Naib Pengerusi DAP tidak berasas

SEPANG 7 Sept. – Dakwaan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, bahawa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga adalah kenyataan yang tidak berasas.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) juga menyangkal kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu yang kononnya perolehan sijil halal boleh mengundang ejekan terhadap negara sedangkan realitinya pasaran halal dunia mencecah trilion dolar.

Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon, berkata sijil halal bukan semata-mata mengenai status makanan untuk umat Islam, sebaliknya ia merangkumi jaminan terhadap aspek keselamatan dan kebersihan produk itu sendiri.

Katanya, menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030, industri halal Malaysia diunjurkan berkembang kepada AS$113.2 bilion (RM500.4 bilion) pada 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.1 peratus menjelang 2025.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, pandangan Ahli Parlimen Kerajaan dari DAP itu bahawa langkah ini bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia bahan ejekan di peringkat antarabangsa adalah tidak tepat.

“Pertama sekali, pensijilan halal adalah suatu keperluan penting yang memastikan standard kebersihan, keselamatan makanan, dan kepatuhan syariah dipatuhi, bukan sahaja untuk umat Islam tetapi juga pengguna bukan Islam yang semakin menyedari kualiti yang diiktiraf melalui proses pensijilan ini.

Ia tidak sepatutnya dilihat sebagai beban kepada perniagaan, tetapi sebagai peluang untuk meningkatkan keyakinan pelanggan dan membuka pasaran yang lebih luas, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Pengusaha yang mempunyai pensijilan halal sering kali dilihat lebih kompetitif dan dipercayai oleh pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Oleh itu, Norsyahrin menegaskan pensijilan halal seharusnya dilihat sebagai langkah positif, bukan sebagai beban demi memajukan perniagaan tempatan dan mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia.

Sebab itu katanya mempromosikan pensijilan halal tidak bermakna menjejaskan kepelbagaian budaya Malaysia, sebaliknya satu cara untuk menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang membentuk majoriti penduduk negara ini, sambil memberi ruang kepada pelbagai sektor perniagaan untuk terus berkembang.

Di peringkat antarabangsa, katanya Malaysia dikenali sebagai peneraju dalam industri halal dan langkah ini akan memperkukuh lagi kedudukan negara sebagai hab halal global yang diiktiraf.

“DPMM berpandangan usaha ini seharusnya dilihat sebagai satu inisiatif yang akan membantu lebih ramai pengusaha, termasuk pengusaha Melayu, untuk mengambil peluang dalam industri halal yang berkembang pesat.

“Dengan sokongan yang sewajarnya, terutama dari segi pendidikan dan bantuan teknikal, peniaga kecil juga mampu menyesuaikan diri dan memanfaatkan pensijilan halal sebagai satu nilai tambah kepada perniagaan mereka, ” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment