Tarik sokongan jika anak jantan tulen

KUALA LUMPUR 7 Sept. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk melaksanakan ‘amaran’ mereka terhadap kerajaan jika benar parti itu ‘anak jantan tulen’.

Dalam kiriman di Facebook hari ini, Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menyifatkan amaran MUDA beberapa hari lalu sebagai satu ugutan kerana tidak diterima menyertai Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Parti MUDA tidak perlu beri amaran untuk tarik sokongan atau turun ke jalan raya. Tarik sahaja sokongan kalau MUDA anak jantan tulen.

Lagi pun MUDA secara tidak rasmi sudah keluar Kerajaan Perpaduan. MUDA tanding solo di PRN 6 negeri. Semua hilang deposit. MUDA yang langgar “Red Line”, katanya.

Menurut Puad, MUDA tidak seharusnya menjadikan keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ugutan agar MUDA diterima masuk PH.

“Tunggu penjelasan apa lagi. Rupanya MUDA juga malas baca 11 alasan Pendakwa Raya,” katanya sambil mencabar MUDA mengosongkan kerusi Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa.

“Daripada ugut kerajaan hilang majoriti dua pertiga elok Saddiq kosongkan kerusi. Bolehkah Muar dan Puteri Wangsa menang tanpa sokongan PH? Confirm (sah) tidak berani. Cuma mengugut,” katanya.

Kelmarin,  MUDA menyatakan kesediaan untuk menilai semula sokongan terhadap kerajaan serta mungkin turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Ahmad Zahid.

Related posts

Leave a Comment