1,000 maut kibat gelombang haba

ISTANBUL – Angka awal yang dikeluarkan pada Ahad (28 Jun) oleh Pejabat Kesihatan Awam Perancis merekodkan lebih 1,000 kematian sejak 24 Jun apabila gelombang haba luar biasa melanda sebahagian besar negara itu.

Data berkenaan, yang masih bersifat sementara, menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar kematian sepanjang tempoh gelombang haba, dengan majoriti peningkatan kematian membabitkan individu berusia 65 tahun ke atas.

Agensi itu turut melaporkan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam jumlah kematian yang berlaku di rumah.

Menteri Kesihatan Perancis, Stephanie Rist, sebelum ini memberi amaran bahawa kesan kesihatan akibat gelombang haba masih belum berakhir walaupun suhu mula turun di banyak wilayah.

Beliau seperti dilaporkan penyiar Perancis BFMTV berkata,  negara itu kini mencatatkan jumlah kematian yang lebih tinggi daripada kebiasaan.

Manakala perkhidmatan perubatan kecemasan Paris (SAMU) melaporkan 80 kematian pada Sabtu, termasuk 30 kes jantung terhenti, berbanding 109 kematian pada Jumaat.

Angka itu hanya meliputi kes yang dikendalikan oleh perkhidmatan kecemasan Paris dan tidak mewakili jumlah keseluruhan kematian di ibu negara itu.

Kematian berlebihan itu berlaku selepas 11 hari berturut-turut ketika cuaca panas melampau melanda sebahagian besar Perancis.

Walaupun suhu mula menurun di beberapa wilayah pada Ahad susulan ribut petir yang kuat, hospital masih berdepan tekanan akibat peningkatan kes penyakit berkaitan haba serta komplikasi perubatan yang muncul lewat.

Balai Cerap Keraunos, melaporkan lebih 127,000 panahan petir direkodkan di seluruh negara pada Sabtu malam, dengan aktiviti elektrik yang sangat tinggi tertumpu di kawasan Paris hingga ke wilayah Hauts-de-France.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment