Op Tiris 3.0 rampas barang RM80.11 juta

KUDAT 1 Sept. – Op Tiris 3.0 yang dijalankan antara 1 Januari hingga 28 Ogos lalu berjaya menahan 496 individu dan merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM80.11 juta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata dalam tempoh sama, sebanyak 29,487 pemeriksaan diadakan di seluruh negar manakala 2,005 kes direkodkan.

Op Tiris 3.0 adalah usaha kerajaan mengekang kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi meliputi bahan api diesel, petrol RON95, minyak masak bungkusan polibeg 1 kilogram, gas petroleum cecair (LPG), tepung gandum dan gula putih bertapis 1 kilogram.

Armizan berkata kementeriannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya mematahkan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan tiga premis berasingan di Nilai, Negeri Sembilan pada 23 Ogos lalu.

Beliau berkata dalam serbuan terbabit, sebanyak 180,200 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama telah disita, selain kenderaan dan beberapa dokumen seperti invois jualan dan belian.

Seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing ditahan untuk membantu siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah hampir RM500,000,” katanya selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Advokasi Kepenggunaan di sini hari ini.

Armizan berkata hasil siasatan awal mendapati aktiviti yang disyaki didalangi oleh syarikat pemborong minyak masak yang berlesen ini, bertujuan menyeleweng dan memindahkan minyak masak bersubsidi bungkusan polibeg 1 kilogram bagi jualan pada harga lebih tinggi daripada harga kawalan selain diseludup ke negara jiran.

“Kementerian ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam rantaian pembekalan dan pengedaran minyak masak bersubsidi polibeg 1 kilogram agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar.

“Selain pemborong dan peruncit, pihak syarikat pembungkus juga tidak boleh lepas tangan dan perlu bertanggungjawab dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment