Hajiji yakin GRS – PH Plus terus kuasai Sabah

KOTA BELUD 1 Sept. – Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor yakin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus mampu kembali memerintah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang dijangka diadakan tahun depan.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan perkembangan politik semasa di negeri ini dan penerimaan rakyat terhadap kerajaan sedia ada yang semakin baik serta gabungan itu memiliki kekuatan untuk berkhidmat kepada rakyat dan membangunkan negeri.

“Saya tahu kekuatan parti kita. InsyaAllah, kita akan bersama dengan PH Plus, kita tetap akan menjadi kerajaan selepas PRN nanti,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Usukan, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata banyak perkara yang perlu diambil kira bagi menghadapi PRN17 termasuk berkaitan kepentingan rakan dalam GRS dan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, itu antara syarat penting bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat dikekalkan selepas PRN17 nanti, di samping menguatkan lagi Gagasan Rakyat yang menjadi tunjang GRS.

“Yang penting kepada kita terutama sekali di Usukan, kalau ada semangat kita mahu bertanding di sini, Gagasan Rakyat mesti kuat dan mantap. Ini syarat utama dan kita mahu semua ahli parti bekerja kuat untuk menghadapi PRN nanti

“Kita mesti fikir kepentingan rakan dalam GRS dan Kerajaan Perpaduan kerana kita mahu terus memerintah Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat mengulangi pendirian kerajaan negeri pimpinannya mengenai kepentingan mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan.

“Dalam politik, kerajaan negeri mesti serasi, rapat dengan kerajaan Persekutuan. Ini penting, apabila negeri tidak bekerjasama dengan persekutuan apa jadi?

“Jangan terlampau perkauman, terlampau kenegerian dan kekampungan. Orang cerita dunia tanpa sempadan, kita cerita negeri, kita tidak cerita pasal negara. Jadi, kita kena pandai dalam berpolitik, kita tidak boleh bermusuh dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment