Rundingan tingkat hubungan Malaysia-Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 26 Ogos – Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Malaysia dan Brunei di Istana Nurul Iman, berjaya meningkatkan hubungan kerjasama antara kedua-dua negara,  Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Brunei bersetuju meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pelancongan, pendidikan, pelaburan, sastera, teknologi dan ketenteraan.

Menurut Perdana Menteri, dalam meneruskan kerjasama itu, kerajaan mempunyai pendekatan berbeza untuk memastikan hubungan Malaysia dengan Brunei mampu memberi impak lebih berkesan kepada kedua-dua negara.

“Ada dua aspek, satu ialah kita bertekad untuk meningkatkan hubungan itu dalam semua bidang yang mungkin, dan kedua adalah kita mempunyai pendekatan agak berganjak daripada pendekatan dahulu.

Kita meminta hubungan langsung dalam beberapa aspek walaupun tertakluk kepada keputusan muktamad (Kerajaan) Persekutuan, antaranya hubungan langsung antara Brunei, Sabah dan Sarawak.

“Ini pendekatan praktikal kerana di sempadan juga (ada) keperluan untuk ditingkatkan hubungan pengangkutan dan pelancongan, (agar ia) boleh dimanfaatkan oleh Brunei serta Malaysia,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Luar, Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor; dan Timbalan Premier Sarawak,  Awang Tengah Ali Hasan.

Terdahulu, Anwar yang menghadiri rundingan itu, telah menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, serta mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman, di sini.

Berhubung bidang pendidikan dan pendidikan tinggi, Anwar berkata, beberapa perkara telah dirunding bagi melaksanakan pelbagai program kerjasama, antaranya

pertukaran profesor, pensyarah, pelajar dan mahasiswa, selain meneroka kerjasama dalam bidang kajian.

Beliau berkata, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Malaysia juga bersetuju membantu Brunei dalam memberi latihan kepimpinan pengajian tinggi, selain membantu meningkatkan tahap kecemerlangan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara itu.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) akan menawarkan program latihan kenderaan elektrik (EV) kepada belia dari Brunei.

Katanya, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pula akan memperkasakan kerjasama dengan Brunei dalam bidang bahasa Melayu.

Beliau berkata, kerjasama latihan lain termasuklah dalam bidang baharu peralihan tenaga, digital dan semi konduktor.

Di samping itu hubungan kerjasama ketenteraan turut ditingkatkan, antara lain membabitkan pertukaran latihan Malaysia-Brunei, termasuk program pertukaran antara pegawai kedua-dua negara dan sesi latihan bersama.

Dalam pada itu, Anwar menjunjung kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah atas kerjasama serta sokongan diberikan kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam carigali dan pengeluaran minyak serta gas di Brunei.

“Ia adalah suatu pendekatan yang hanya mungkin berlaku apabila dua negara ini bersahabat akrab,” katanya.

Perdana Menteri tiba di sini, semalam, untuk lawatan kerja dua hari sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25 Malaysia dan Brunei, iaitu satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Related posts

Leave a Comment