PUTRAJAYA 26 Ogos – Mulai 1 September ini, tiada lagi hak eksklusif bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menjalankan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Puspakom sebaliknya akan bersaing dengan syarikat lain, apabila kerajaan membenarkan mana-mana syarikat berkelayakan untuk menjalankan tugas dalam skop pemeriksaan kenderaan motor seperti mana dilaksanakan Puspakom ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata susulan tempoh konsesi Puspakom tamat pada 31 Ogos ini, kerajaan melaksanakan mekanisme baharu dengan membenarkan syarikat lain menjalankan tugas pemeriksaan kenderaan motor.
Katanya, kerajaan membuka kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk mengemukakan permohonan sehingga 31 Oktober ini.
“Sebelum ini Puspakom diberi hak eksklusif menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan motor, namun selepas ini mana-mana syarikat berkelayakan boleh menjalankan tugas serupa di bawah Akta 333.
Bagaimanapun, Puspakom akan menjadi syarikat pertama diberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan ini, maknanya mereka meneruskan operasi sedia kala, cuma kali ini, mereka akan bersaing dengan syarikat lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Loke berkata, dengan pemberian kuasa di bawah Seksyen 126(1) Akta 333, Puspakom dan mana-mana syarikat berkelayakan boleh menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor.
Katanya, setakat ini, pihaknya menerima dua permohonan secara rasmi bagi mendapatkan lesen sebagai operator pemeriksaan kenderaan motor.
“Dalam libat urus yang kita buat sebelum ini, ada 50 syarikat menyatakan minat, namun kita sudah terima dua permohonan rasmi dan sebab itu kita membuka permohonan sehingga 31 Oktober ini.
“Kita mahu melihat berapa banyak syarikat yang mengemukakan permohonan, lagi awal mereka kemuka permohonan, lagi cepat kita buat penilaian dan mengeluarkan lesen,” katanya.
Beliau menegaskan, setiap permohonan akan melalui penilaian yang ditetapkan di bawah Akta 333 sebelum diluluskan dan diberikan lesen.
“Mana-mana syarikat yang sudah lulus penilaian, kita akan beri lesen seperti mana kita kepada Puspakom hari ini, sebab mereka sudah beroperasi selama ini. Tapi lesen ini juga akan diberi kepada syarikat lain jika mereka memenuhi penilaian kita,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, syarat perkhidmatan untuk memperoleh lesen terbabit, terbahagi kepada tujuh komponen utama iaitu modal berbayar syarikat ditetapkan berjumlah RM10 juta dan mempunyai modal pusingan berjumlah RM5 juta setahun demi menjaga kemampanan perniagaan.
Pemegang lesen hanya dibenarkan menjalankan semua skop pemeriksaan yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dibenarkan menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan motor, pengubahsuaian, penjualan alat ganti, penjualan kenderaan serta sebarang transaksi yang berkaitannya demi menjaga integriti.
(Foto: Anthony Loke menyerahkan lesen kuasa pemeriksaan kenderaan bermotor kepada Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman di Kementerian Pengangkutan- Foto Fb Puspakom)
nn
