Tiada ahli geologi bernama Sarah

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) hari ini menafikan satu artikel yang kononnya ditulis oleh pakar geologi universiti terbabit yang mendakwa terdapat gua kosong yang besar di bawah tanah Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan berkata artikel itu kononnya ditulis oleh seorang ahli geologi terkemuka dari UM yang bernama Dr Sarah Jamal.

“Jabatan menegaskan bahawa tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di Universiti Malaya.

Juga, tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal didaftarkan di dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook jabatan hari ini yang turut menjelaskan artikel itu tidak berdasarkan fakta dan adalah palsu.

Katanya, staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, memandangkan kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan.

“Punca kejadian itu juga masih tidak dipastikan,” katanya.

Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, seorang wanita warga India berusia 48 tahun dilaporkan hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Sepasukan anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 8.22 pagi.

Susulan itu, sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial khususnya Facebook berkenaan kenyataan yang memetik ahli geologis terkemuka bernama Dr. Sarah Jamal yang didakwa kononnya pakar dari UM.

Menerusi kenyataan yang tular itu, Sarah mendedahkan kawasan di bawah bandar raya Kuala Lumpur adalah sebuah gua kosong yang amat dalam yang terbentuk berjuta-juta tahun lalu dan Kuala Lumpur seolah-olah dibina di atas `atap’ sebuah gua raksasa.

Kenyataan yang tular itu turut disertakan dengan grafik yang dijana oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memperlihatkan gua kosong besar di bawah pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Infografik yang palsu dan tidak benar itu yang tular di media sosial menimbulkan kebimbangan dalam kalangan awam berhubung keselamatan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya untuk dihuni.

Nnn

Related posts

Leave a Comment