Saya tidak akan menjadi pengkhianat – Zahid

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Di hadapan lebih 2,000 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka hari ini,  Dr Ahmad Zahid Hamid menegaskan beliau tidak akan menjadi pengkhianat kepada parti.

Presiden UMNO itu berkata, beliau juga tidak akan merelakan mana-mana pihak menjadikan parti keramat ini sebagai bahan dagangan.

Beliau berkata, membina semula keyakinan rakyat terhadap politik sederhana amat mendesak dan ahli-ahli parti perlu meletakkan kepercayaan terhadap usaha-usaha dan pertimbangan parti, dalam mendepani anjakan politik semasa yang berlaku.

“Dengan itu yakinlah, apa pun keputusan yang kita ambil, kita tidak sesekali akan menggadai maruah dan masa depan parti,” katanya dalam ucapan dasar Presiden di PAU 2024 di di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, dalam keadaan getir, penuh dengan cabaran dan penghinaan, UMNO menyusun strategi dan perancangan dan sehingga ke hari ini, UMNO tidak karam dalam gelombang perubahan.

“Lihatlah enam tahun kebelakang. Masakan kita lupa. Tatkala saya menerima amanah menerajui parti ini, bersama saudara-saudara, pelbagai episod yang melanda. Parti kita cuba dikuburkan kewujudannya.

Pemimpin kita dihina semahunya. Ada yang disogok agar khianat meninggalkan bahtera, malah undang-undang diperalat mengikut nafsu sang penguasa.

Namun ketika itu, teringat saya pesan hikmah daripada Buya Hamka, katanya “Pemimpin ialah memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan. Memapah supaya jangan jatuh. Menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam”,” katanya.

Dengan kata-kata hikmah itu, Ahmad Zahid berkata, beliau bersama-sama dengan barisan kepemimpinan UMNO terus mengatur langkah meneroka pelbagai bentuk kerjasama demi kelangsungan wadah.

Beliau berkata, dalam senario politik semasa yang bergerak pantas dan berdaya saing ini, UMNO tidak boleh selesa dengan cara lama sebaliknya perlu lebih strategik dalam semua pendekatannya.

“Dalam kita mengatur hala tuju dan memberi pengisian kepada perjuangan kita – yang benar-benar dapat membezakan UMNO dengan parti lain adalah, kesanggupan untuk melakukan anjakan usaha dan melangkaui batas kebiasaaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment