Rumpun Melayu satukan NGO

KUALA LUMPUR 23 Ogos –  UMNO akan menjalankan usaha secara besar-besaran bagi menyatukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu sebagai satu gerakan yang dinamakan Rumpun Melayu, kata Presidennya  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, melalui gerakan ini, UMNO akan bersama-sama pertubuhan-pertubuhan ini bagi memperkukuhkan agenda perkongsian kuasa berindukkan Melayu dan Islam.

“Melalui gerakan ini, kita akan bersama-sama pertubuhan-pertubuhan yang memiliki semangat mempertahankan perkongsian kuasa.

Kita mahu gerakan ini, sebagai wadah untuk memastikan agenda Melayu dan Islam menjadi teras dalam apa juga bentuk kerjasama yang hendak dijalinkan,” katanya dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di sini hari ini.

Ahmad Zahid juga menyeru umat Melayu kembali kepada politik kesederhanaan, tidak terikut dan terbuai dengan penceritaan muluk-muluk pihak berkenaan kononnya merekalah yang berjuang demi Melayu dan agama.

Beliau mengakui UMNO bukan maksum, ada salah dan silapnya tetapi selagi ditakdirkan berkuasa, keindukan Islam dan Melayu tetap menjadi agenda utama parti demi kestabilan dan kerukunan negara.

Tegasnya, resam politik, apabila satu pihak mentadbir, akan ada pihak yang sentiasa berusaha menggugat, menyerang UMNO kerana berada dalam kerajaan walaupun penjelasan sering dibuat.

Katanya, naratif Melayu dan Islam terancam sentiasa dimainkan di samping menanam kebencian, menyuntik kejelekan dan menebalkan kecurigaan disebabkan menjadi sebahagian kerajaan.

Hakikatnya, UMNO tidak pernah mengubah atau mencairkan matlamat penubuhan UMNO dengan baiah penubuhan parti dipertahankan, Islam dimartabatkan, hak istimewa Melayu kekal, Bahasa Melayu kukuh dan Raja-Raja Melayu didaulatkan.

“Kita bukan seperti mereka yang saya sifatkan sebagai parti kura-kura, menyorokkan kepala dan sanggup menjual prinsip tatkala berada di tampuk kuasa.

Bersatu pernah berada dalam kerajaan. Jangan kita lupa, merekalah antara orang yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu. Usaha untuk menerima pakai ICERD – dibawa oleh salah seorang pimpinan mereka yang menjadi Menteri ketika itu.

Malah Perdana Menterinya juga dari Bersatu. Kita tidak akan lupa walaupun dia kata Melayu mudah lupa. Jika bukan kita sebagai pemelihara keindukan Melayu bangkit menentang. nescaya konvensyen tersebut telah ditandatangani,” katanya.

Beliau turut membidas Pas yang didakwa bertopengkan agama, malahan ketika menjadi kerajaan, RUU 355 senyap sepi seribu bahasa manakala hudud bukan lagi agenda utama, apatah lagi negara Islam.

“Orang Melayu perlu sedar akan perkara ini. Mereka hanya tahu memainkan sentimen dan emosi bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam. Ia hanya sandiwara politik yang mengkhayalkan,” katanya.

Akibatnya, perpecahan khususnya dalam kalangan orang Melayu makin melebar.
manakala kiasa politik orang Melayu semakin melemah.

Nnn

Related posts

Leave a Comment